Jentera PH siap siaga hadapi PRK Tanjung Piai
Astro Awani
September 28, 2019 06:02 MYT
September 28, 2019 06:02 MYT
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dijadualkan mengadakan taklimat bersama jentera Pakatan Harapan (PH) di Pontian hari ini, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Menurut Salahuddin, PH sudah bersedia menghadapi PRK Tanjung Piai termasuk mengadakan beberapa mesyuarat dan memperkemaskan logistik.
"Rakan-rakan di dalam PH hari ini sudah mula menggerakkan usaha dengan memastikan pusat dan pejabat-pejabat pilihan raya sudah dibuka.
"Kita (PH) sedang tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi)," katanya menurut laporan Bernama.
"Dari segi persediaan, sama ada mesyuarat dan logistik, sedang diperkemas. Saya sudah memimpin mesyuarat minggu lepas di Tanjung Piai dan sekarang hampir setiap malam kita ada mesyuarat di unit-unit peti undi untuk mereka (jentera) siapkan apa yang penting," beliau dipetik berkata.
Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan baka baharu kambing dan merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini, pada Sabtu.
PRK Tanjung Piai merupakan yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ia bakal diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen tersebut selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42 tahun, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunua di Hospital Pontian, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).