Jentera parti, bekerjalah seperti esok pilihan raya - Muhyiddin

Madiha Abdullah
September 8, 2020 22:51 MYT
, kerjasama itu perlu dibentuk dan ditunjukkan hari ini tanpa mengambil kira bila pilihan raya umum akan diadakan. - Foto Bernama
Kerjasama antara ahli parti amat perlu dalam memastikan kepercayaan rakyat diperolehi.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama itu perlu dibentuk dan ditunjukkan hari ini tanpa mengambil kira bila pilihan raya umum akan diadakan.
“Berbincang secara baik, tanpa ada rasa cemburu untuk membentuk persefahaman yang lebih kukuh sekali gus memastikan masa depan kita lebih terjamin.
“Apabila masa pilihan raya tiba, rakyat akan bangkit untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional sebagai kerajaan pada masa akan datang.
"Jangan tanya bila pilihan raya akan diadakan. Yang penting sekarang, bekerjalah bersungguh-sungguh seperti pilihan raya akan diadakan pada esok hari,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tambah beliau, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional yang digagaskan oleh UMNO dan Pas, adalah demi kepentingan nasional dan bukan atas dasar politik semata-mata.
"Sewaktu kita ambil keputusan menyertai Muafakat Nasional untuk gabungkan parti Melayu, maka dengan tidak berfikir panjang, saya menerima penyertaan dalam gabungan Muafakat Nasional bersama UMNO dan Pas.
"Kita wujudkan suasana politik baharu dalam norma baharu. Saya percaya rakyat akan mendokong kita. Saya buat ini untuk memulakan usaha menggabungkan gerakan politik dalam satu wadah perjuangan yang sama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan ulang tahun Bersatu ke-4 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta kepemimpinan tertinggi dan sayap Bersatu.
#Bersatu #MITEC #Muafakat Nasional #Muhyiddin Yassin #parti Melayu #PAS #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #pilihan raya umum #UMNO
;