Jentera BN guna Whatsapp dekati hati pengundi

Bernama
Mei 1, 2018 13:50 MYT
Platform media sosial menjadi pelengkap bahan-bahan kempen seperti bendera, risalah, poster, kain rentang, sepanduk dan replika yang digunakan calon-calon yang bertanding. - Gambar hiasan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan medium media sosial digunakan secara meluas oleh jentera parti-parti yang bertanding dalam usaha mendekati dan menambat hati para pengundi di kawasan masing-masing.
Platform media sosial menjadi pelengkap bahan-bahan kempen seperti bendera, risalah, poster, kain rentang, sepanduk dan replika yang digunakan calon-calon Barisan Nasional, Pakatan Harapan, PAS serta individu yang bertanding atas tiket Bebas.
Sepanjang tempoh berkempen sejak 28 April lepas, aplikasi WhatsApp adalah yang paling popular dan menjadi pilihan bagi jentera parti-parti berkenaan untuk menyalurkan maklumat kepada anggota dan penyokong selain media.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat Puspa Hairani Hasaa berkata Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus mengguna kemudahan aplikasi itu dengan membuka grup WhatsApp sebagai cara mendekati pengundi di sekitar Segamat.
“Selain mengadakan lawatan dari rumah ke rumah, kita juga mengunakan grup WhatsApp sebagai cara untuk berkempen dan menyampaikan maklumat terkini kepada pengundi... dengan cara ini, ia mudah diterima ramai,” katanya kepada Bernama di sini.
Menerusi WhatsApp, katanya, anggota jentera boleh berhubung secara terus dengan pengundi yang berada di luar Segamat dan cara ini mampu menjimatkan masa malah memudahkan perhubungan dengan 55,350 pengundi di daerah itu.
Namun, Wanita UMNO Bahagian Segamat masih mengunakan kaedah tradisional iaitu berkunjung dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi yang tinggal di sekitar Segamat.
Puspa, 54, berkata terdapat 6,300 anggota JR dan JR Plus di 50 cawangan bagi seluruh Segamat dan seorang JR diberi tanggung jawab untuk menjaga lebih kurang 30 orang pengundi.
Sementara itu, jentera MIC Bahagian Segamat turut menggunakan pendekatan yang sama bagi mendekati pengundi masyarakat India.
Bendahari MIC Segamat T.Shanmugam, 45, berkata sebanyak enam grup WhatsApp dicipta bagi tujuan tersebut.
“Kita telah membuka enam group Whatsapp bagi setiap zon iaitu Gemas Baharu, Batu Anam, Buluh Kasap, Bandar Segamat, Jementah dan pemuda MIC sebelum tarikh penamaan calon bagi mendekati 5,583 orang pengundi masyarakat India di Segamat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut mendapat sambutan baik daripada pengundi khususnya pengundi muda yang lebih dekat dengan medium baharu ini.
“Dengan cara ini, kita dapat menyampaikan maklumat mutakhir dengan lebih cepat dan berkesan dan orang ramai lebih selesa mendapat perkembangan semasa menerusi group whatsapp,” katanya.
Sementara itu, calon baharu BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah Chiam Yoke Meng berkata beliau turut mengunakan WhatsApp sebagai satu mendekati pengundi Jementah.
“Selain bertemu pengundi secara bersemuka, saya turut menggunakan whatsapp. Dengan cara ini, pengundi dapat berhubung dengan saya tanpa mengira waktu dan saya dapat mendekati mereka dengan lebih dekat lagi dalam tempoh masa yang singkat,” kata calon MCA yang berusia 51 tahun.
– BERNAMA
#Barisan Nasional #calon #Jementah #kempen #MalaysiaMemilih #MCA #media sosial #medium #MIC #pilihan raya umum #poster #PRU14 #Segamat #UMNO
;