Jentera Bersatu Sabah perlu pendekatan baharu berkempen - Ronald Kiandee

Bernama
November 28, 2021 19:15 MYT
Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Bahagian Bersatu Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran di Dewan Serbaguna Beluran hari ini. - Foto BERNAMA
BELURAN: Jentera pilihan raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah perlu kreatif dan berinovatif dalam berkempen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang di era COVID-19, kata Naib Presidennya Datuk Seri Ronald Kiandee.
Mengambil contoh pendekatan berkempen secara dalam talian pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini, beliau berkata pendekatan itu mungkin lebih mencabar bagi menjayakan pilihan raya umum (PRU) akan datang di Sabah dengan capaian Internet yang masih rendah terutamanya di kawasan pedalaman.
"Sekarang adalah amat penting (ketika PRU belum dipanggil) bagi jentera pilihan raya setiap parti untuk mendekati pengundi.
"Bersatu Bahagian Beluran kini ada 104 cawangan dan lebih 8,000 ahli yang boleh memanfaatkan masa sekarang untuk menyantuni rakyat, khususnya pengundi," katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Beluran kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran, di sini hari ini.
Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata meskipun Bersatu Beluran mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, namun pendekatan kempen secara dalam talian juga perlu diselami dan diberi perhatian setiap jentera pilihan raya.
-- BERNAMA
#jentera pilihan raya #Bersatu Sabah #COVID-19 #Ronald Kiandee #kempen #PRU
;