Jazlan tidak bimbang pertahan Machang
Marlina Manaf
April 28, 2018 21:30 MYT
April 28, 2018 21:30 MYT
Datuk Jazlan Yaakob, penyandang parlimen Machang (P.029), tidak bimbang untuk mempertahankan kerusi itu, walaupun sebelum ini menang dengan majoriti kecil.
Jelas Jazlan, umum mengetahui persaingan calon di Machang adalah sengit.
Malah dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, penyandangnya menang dengan majoriti tipis.
"Kita sedar pertandingan setiap pilihan raya sengit lebih-lebih lagi di Machang, mana-mana parti yang bertanding dalam beberapa pilihan raya yang lepas, dalam kadar majoriti sedikit atau slim majoriti," katanya kepada Astro AWANI selepas selesai proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Jazlan ditentang calon PKR, Wan Zawawi Wan Ismail dan menang dengan majoriti 805 undi.
Wan Zawawi kemudian memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan berkenaan.
Kerusi itu bagaimanapun kekal milik Jazlan selepas Hakim Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan calon PKR itu.
Kerusi parlimen Machang adalah kerusi yang silih berganti dimenangi Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Pada 2008, Parlimen Machang jadi milik PKR menerusi calonnya, Datuk Saifudin Nasution Ismail dengan majoriti 1,820 undi menewaskan penyandang, Datuk Sazmi Miah.
Pada 2004, P.029 dimenangi BN menerusi calonnya Datuk Sazmi Miah dengan majoriti 99 undi.
Sazmi, yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), akan bertanding atas tiket PKR menentang Jazlan pada PRU14.
Pertembungan di Parlimen Machang melibatkan tiga penjuru dengan seorang lagi calon diletakkan Pas, Zulkifli Mamat, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong.
Jazlan dalam pada itu meminta rakyat terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus berkhidmat secara berkesan.