Jawatankuasa MIC Perak baharu bakal jana transformasi politik, pembangunan - Ramasamy

Aida Aziz
Oktober 9, 2024 05:50 MYT
Ramasamy (duduk, tiga, kiri) berkata, kesemua ahli jawatankuasa MIC Perak yang dilantik merupakan pemimpin akar umbi parti yang peka akan nadi dan naluri masyarakat. - Foto Astro AWANI
IPOH: Jawatankuasa MIC Perak yang baru dilantik bakal menjana transformasi mampan dari segi politik serta pembangunan masyarakat.
Itu ikrar Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy berhubung pelantikan seramai lapan orang jawatankuasa MIC bagi sesi 2024/27 pada Rabu.
Jelasnya, pelantikan itu dibuat setelah berbincang dan mendapat mandat dari Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran.
Menurutnya, kesemua ahli jawatankuasa yang dilantik merupakan pemimpin akar umbi parti yang peka akan nadi dan naluri masyarakat.
"Mereka berkecimpung di dalam arena politik dengan ciri-ciri kepimpinan.
"Mereka juga komited membawa perubahan positif terhadap hala tuju dan masa hadapan masyarakat India di Perak," katanya.
Beliau mengumumkan mengenai pelantikan itu di bangunan Ibu Pejabat MIC Cawangan Negeri Perak, di sini semalam.
Ramasamy, yang baru dilantik sebagai Naib Presiden MIC, turut komited dalam menawan kepercayaan masyarakat terhadap parti itu serta Barisan Nasional.
"Saya yakin dan berjanji jawatankuasa MIC Perak pimpinan saya akan menjana transformasi mampan dari segi politik dan juga pembangunan masyarakat," katanya.
Jawatankuasa MIC Perak itu membabitkan:
Timbalan Pengerusi: Veeran a/l P. Muniandy (Taiping)
Setiausaha: Shanmugiavalloo a/l Govindasamy (Bukit Gantang)
Penolong Setiausaha: Sukumaren a/l Perisamy (Ipoh Timur)
Bendahari: Jayaganesh a/l Selvaraju (Tambun)
Pegawai Penerangan: Magendran a/l Ramachandran (Gopeng)
Setiausaha Penyelaras: Jayagopalan a/l Rethinam (Bagan Serai)
Pegawai Strategi: Mokan a/l Subramaniam (Batu Gajah)
Setiausaha Eksekutif: Chitra Devi a/p Subramaniam (Ipoh Barat)
#MIC Perak #M Ramasamy #transformasi politik #Barisan Nasional
;