Jawatan TPM: 'Saya hanya diminta sedia draf MoA' - Takiyuddin
Muhafandi Muhamad
Julai 15, 2022 14:20 MYT
Julai 15, 2022 14:20 MYT
KOTA BHARU: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata dia hanya diminta menyediakan draf perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang dibangkitkan baru-baru ini.
Ia selaras dengan permintaan oleh pihak-pihak yang didakwa menandatangani perjanjian itu iaitu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kena tanya orang yang tandatangan, saya tidak tandatangan. Saya sebagai peguam, saya draf perjanjian itu mengikut apa yang dikehendaki oleh orang yang hendak tandatangan. Itu ialah Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Saya percaya kedua-dua belah pihak ini sudah bincang barulah buat perjanjian. Saya ini kebetulan peguam. Saya atas permintaan, untuk personal favour (bantuan peribadi) saya pun draf. Saya tak terlibat dalam perjanjian. Namanya ialah Memorandum Perjanjian, MOA,” katanya di sini hari ini.
Pada Isnin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sememangnya wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kuota Kabinet.
Menurutnya, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.
Malah, katanya, draf perjanjian itu digubal oleh Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, membabitkan
kekosongan jawatan menteri, pengerusi GLC serta Timbalan Perdana Menteri.