Jawatan Presiden UMNO: Kelangsungan parti lebih penting daripada individu - Ahmad Said
Ridauddin Daud
Januari 16, 2023 14:32 MYT
Januari 16, 2023 14:32 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk tidak mempertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah bagi memastikan parti tidak lagi berpecah apatah lagi ketika semakin hampir dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, situasi seperti itu pernah berlaku sebelum ini malah tindakan itu juga dibenarkan, tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.
“Ini masalah dalaman parti tapi soalnya sekarang, kita lihat parti itu lebih penting daripada individu. Enam lagi PRN akan berlangsung, bayangkan kalau pemilihan parti dibuat masa PRN.
“Kita nak kena fokus pilihan raya, fokus kepada pemilihan parti lagi. Kedua, apa kata kalau berlaku pemilihan dulu, barulah PRN. Tentu akan ada Ketua Bahagian yang kalah.
“Mereka yang kalah ini akan kecewa, mula buat hal dan mudahkah parti lawan kita untuk gunakan mereka yang kalah ini untuk lawan kita balik.
“Perkara ini mudah sahaja, sebab itu kita letakkan parti mengatasi segala-galanya,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di sini pada Isnin.
Tambah beliau, selepas kalah teruk dalam PRU15, UMNO tidak boleh lagi berpecah teruk selepas ini dan jika ia berlaku, situasi itu akan terus melemahkan UMNO.
Astro AWANI pada Sabtu lepas melaporkan UMNO mengesahkan bahawa usul tambahan yang dikemukakan oleh perwakilan agar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan adalah mematuhi perundangan dan Perlembagaan Parti.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul tambahan tersebut selaras dan mengikuti beberapa fasal dalam Perlembagaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya perbincangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN, Ahmad menegaskan setakat ini masih tiada perbincangan dilakukan.
“Masih terlalu awal, belum bincang lagi,” katanya.