Jantina, umur dan rupa bukan alasan pilih pemimpin - Wan Azizah
Wan Syamsul Amly
Ogos 23, 2014 11:08 MYT
Ogos 23, 2014 11:08 MYT
Jantina, umur dan rupa paras hanyalah alasan semata-mata dalam kriteria memilih pemimpin di peringkat parti, negeri atau negara.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, rakyat harus jelas ciri pemimpin yang mempunyai kelayakan, wibawa dan amanah perlu dipilih untuk menjadi seorang pemimpin.
"Kita harus jelas bahawa isu kepimpinan ini bukan suatu perkara yang dipandang remeh oleh Islam.
"Saya mengerti dan biasa melalui pahit maung dalam memimpin, sama ada sebagai pemimpin sebuah parti yang baru semenjak penubuhannya 15 tahun yang lalu sehingga kini, dan juga sebagai seorang ketua keluarga ketika Anwar dipenjarakan selama enam tahun," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PKR ke-10 di Stadium Malawati di sini.
Lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati daripada wakil-wakil di peringkat Cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), AMK, Wanita dan angota-angota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyertai Kongres PKR kali ini.
Dalam pada itu kata Wan Azizah, semua perwakilan diminta melenyapkan perasaan kurang senang atau sebarang krisis yang timbul semasa pemilihan baru-baru ini.
"Atas dasar kemanusiaan kita cerapkan kembali hubungan baik sesama ahli parti dan lenyapkanlah segala perasaan kurang senang yang tercetus semasa musim pemilihan yang lalu.
"Segala kudrat, keringat dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh setiap ahli parti semenjak penubuhan parti perlu kita hargai," ujarnya.
Tambahnya, perwakilan juga harus sentiasa sedia memperkukuh persaudaraan selain terus menentang rasuah dan penyelewengan.
Jelasnya, kerjasama dengan PAS dan DAP juga disifatkan kunci masa depan politik yang lebih cerah
"Pakatan Rakyat (PR) yang wujud hari ini bukan dizahirkan atas kehendak mana-mana individu, bukan kepentingan kelompok, bukan juga atas kehendak sebuah parti politik. Ia lahir dari dorongan dan kehendak rakyat yang berbilang kaum, agama, pegangan dan cara hidup.
"Selagi kita berpegang pada dasar ini, rakyat akan terus bersama kita. Saya percaya semangat setiakawan sebeginilah yang akan terus memberikan kita sokongan dan mandat rakyat sekali gus memperkukuhkan perjuangan untuk menguasai Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya.
Wan Azizah turut menyentuh isu Selangor dengan menekankan keperluan peningkatan keupayaan pendidikan di UNISEL, KUIS dan pusat latihan di bawah kelolaan negeri.
"Selangor patut dijadikan sebuah hab pendidikan dan negeri contoh PR. Selain daripada soal prasarana asas seperti persekitaran, kita juga perlu menekankan soal mutu pendidikan.
"Reformasi pendidikan perlu diteruskan di seluruh peringkat rendah, menengah dan tinggi," jelasnya.
Wan Azizah kekal menjadi Presiden PKR apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan
parti sementara Mohamed Azmin Ali juga kekal menyandang jawatan Timbalan Presiden dengan menewaskan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.