Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat - Tengku Razaleigh

Wanna Abd Rahim
September 17, 2022 14:18 MYT
TENGKU RAZALEIGH: Selagi rakyat masih menyokong UMNO dengan kuat, UMNO akan terus teguh dan kuat serta berkuasa di Malaysia. - Gambar fail
KOTA BHARU: Jangka hayat UMNO sebenarnya bergantung kepada rakyat, sekiranya rakyat masih menyokongnya dengan kuat, UMNO akan terus tetap teguh dan kuat.
Pandangan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Selagi rakyat masih menyokong UMNO dengan kuat, UMNO akan terus teguh dan kuat serta berkuasa di Malaysia.
Bagaimanapun, veteran UMNO itu berpandangan parti berkenaan sekarang berada dalam keadaan tidak aman.
"Ada perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri dan di peringkat pusat, dah tak aman, sampai sekarang tak aman. Ada saja orang nak mencelah... tetapi begitulah politik.
"Perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri pula, berlaku perebutan, di peringkat pusat, di peringkat negeri dan sebagainya," tambahnya.
Tengku Razaleigh berkata, keadaan dulu dan sekarang berbeza kerana pada zaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkuasa, ada tiga belas parti mendokong kepimpinan UMNO.
“Ahmad Zahid ambil alih, selepas UMNO kalah. Kita kalah bukan saja di peringkat pusat malah di tiap-tiap negeri kecuali Perlis dan Pahang.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, jika seseorang pemimpin tidak mengambil tanggungjawab dan mengambil kepentingan berbeza, maka parti akan berpecah-belah.
"Johor tak sepatutnya kalah pada pilihan raya lepas, tapi bila ada kepentingan sampingan, maka kita tak tumpukan apa yang hadapi, sebab itu kita kalah. Macam Selangor dan Kelantan dahulu juga berlaku perpecahan lalu menyebabkan kita kalah," katanya.
Jelasnya dengan isu semasa, ia turut menjejaskan sokongan rakyat.
"Memang itu sebabnya kita selalu merayu supaya ada perpaduan dan solidariti dalam kalangan kita. Tak boleh sesiapa mencelah. Kita kena bulat. Tetapi kalau kita berpecah dan ada beberapa kerat bawa cerita lain, tak sedaplah. Bagaimana nak lawan musuh?" ujarnya.
Sementara itu Tengku Razaleigh mempersoalkan hasrat pimpinan UMNO untuk membawa parti bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sedangkan, jelasnya, UMNO merupakan parti yang berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN) yang turut disertai 13 parti komponen lain termasuk parti dari Sabah dan Sarawak.
"Saya sebenarnya tak faham apa makna solo, sebabnya, kalau solo bererti UMNO dan Barisan Nasional itu berbeza.
"Ini kerana Barisan Nasional tak pernah bergerak solo dulu sebelum dikalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 2018. Barisan Nasional dianggotai 13 parti termasuk dari Sabah dan Sarawak," jelasnya.
Tengku Razaleigh menjelaskan, pakatan melalui gabungan parti komponen membawa kekuatan masing-masing dengan menggunakan satu simbol sahaja.
#UMNO #tengku razalieh hamzah #rakyat #politik
;