Jangka hayat Pakatan Harapan dijangka lebih pendek dari Pakatan Rakyat

Mohd Zuhdi Marzuki
November 24, 2015 09:54 MYT
PPP percaya, Pakatan Harapan tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU 13, disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran. - Gambar fail
PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan jangka hayat Pakatan Harapan (PH) lebih pendek dari Pakatan Rakyat (PR).
Berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam PH hari ini, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dijangkakan paling lama hayat PH boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke-14).
Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU 14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul.
Sehingga hari ini, PH masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan.
DAP dilihat cenderung untuk menyokong TPPA, manakala PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan.
PAN (Parti Amanah Negara) pula, hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat. PPP melihat kegagalan mereka menentu pendirian dalam isu sebesar ini, mendedahkan kerapuhan PH.
Berbanding dengan PAS, parti ini secara konsisten membantah keras keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan TPPA apatah lagi menyertainya kelak.
Lebih dari itu, PAS telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGOs dan NGIs dalam Kongres Rakyat menentang TPPA.
PPP mendapat makluman, Kongres Rakyat sedang merancang satu bantahan secara besar-besaran menjelang perbahasan TPPA dalam sidang khas parlimen yang dijangkakan Januari tahun hadapan. Jelas sekali solidariti Kongres Rakyat dalam isu TPPA ini lebih mantap dari PH.
PPP juga mengunjurkan PH tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh PR dalam PRU 13, disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran.
Mereka juga dijangka tidak dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan tiada tokoh-tokoh besar kaum India di dalam PH hari ini.
Selain daripada itu, PH juga diyakini akan menghadapi masalah dalam isu pembahagian kerusi sebelum PRU akan datang. Kesemua faktor ini menjadi penyebab mengapa jangka hayat PH boleh berakhir sebaik sahaja selepas PRU 14.
Pergeseran yang berlaku antara parti-parti komponen PH, seperti mana yang berlaku di DUN Pulau Pinang minggu lepas secara jelas menunjukkan kerapuhan PH.
Pada masa yang sama, sehingga hari ini pembentukan kerajaan PH di Selangor tidak berjaya, malah Dato Menteri Besar Selangor meskipun didesak kuat dari luar dan dalam lebih selesa untuk sama-sama melibatkan PAS dalam mentadbir negeri.
Berdasarkan perkembangan pergeseran dan konflik tersebut, PPP tidak menolak kemungkinan jangka hayat PH boleh berakhir sebelum PRU akan datang.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Astro AWANI.

#DAP #Mohd Zuhdi Marzuki #Pakatan Harapan #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #PPP #PRU 14 #Pusat Penyelidikan PAS #TPPA
;