"Janganlah di saat akhir ini, kita bertelagah sesama sendiri" - Ahmad Zahid

Adie Sufian Zulkefli
Mei 4, 2018 18:14 MYT
Ahmad Zahid berkata sebarang persengketaan bukan sahaja memburukkan nama parti malah dibimbangi menimbulkan persepsi tidak baik di kalangan rakyat. - Gambar Fail
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pemimpin parti agar tidak bertelagah sesama sendiri di saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga menimbulkan salah faham antara satu sama lain.
Sebarang persengketaan katanya, bukan sahaja memburukkan nama parti malah dibimbangi menimbulkan persepsi tidak baik di kalangan rakyat.
"Janganlah di saat akhir bertelagah sesama sendiri sehingga berlaku salah faham di antara satu sama lain.
"Saya dapat laporan, laporan banyak ni pemilihan bahagian ni kemudian, lupa bahagian bagi menang dulu lah, bagi menang dulu parlimen jangan dok cita cita bukan saya nak tentukan sapa, saya tak campur tentang soal pemilihan tetapi orang yang pegang UMNO dulu bencikan UMNO benci dengan pemimpin negara ni, betul tak," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Pendidik dan Rakyat Daerah Sik di Dewan Al-Hana di sini hari ini.
Ahmaz Zahid berkata, kekalahan BN di Kedah pada PRU 2008 jelas menunjukkan ia berpunca dari tindakan sabotaj calon dan perselisihan antara pemimpin parti.
"Di dalam pilihanraya yang terdahulu dan terdahulu kekecundangan yang berlaku di Kedah bukan kerana pihak lawan kuat, bukan kerana rakyat mahu pihak lawan dan rakyat mengetahui bahawa pihak lawan tidak boleh melakukan sesuatu yang lebih baik," jelasnya.
Justeru, semua pemimpin parti termasuk calon PRU14 diingatkan agar berhati-hati dengan pihak tertentu yang cuba merosakan hubungan sesama anggota.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan calon-calon BN agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Ia berikutan prestasi mereka akan dipantau oleh sebuah badan bebas yang akan diwujudkan BN.
#Barisan Nasional #calon #Cuba #Kedah #Parlimen #pemilihan #PRU #rakyat #UMNO #Zahid Hamidi
;