Jangan tuduh KJ guna taktik politik kuno - Armand

Wan Syamsul Amly
September 9, 2016 18:34 MYT
ARMAND: Seharusnya Lian Ker memikirkan cara untuk meraih sokongan masyarakat Cina kembali kepada BN dengan program yang dekat di hati rakyat. -Gambar fail
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dinasihatkan tidak menuduh taktik politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai cara lama dan tidak diterima kaum lain.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata Lian Ker juga dirasakan gagal melihat apa yang telah dilaksanakan UMNO, terutama dalam politik terkini.
"Jangan tuduh KJ (Khairy Jamaluddin) guna taktik politik kuno. Jika dilihat berdasarkan fakta bukan emosi, kerusi UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu bertambah manakala kerusi MCA yang berkurangan.
"Malah jika kita lihat landskap politik terkini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, terdapat dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar.
"Berdasarkan strategi terancang UMNO serta rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN), kita telah menang malah menambah majoriti di dua PRK tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Armand mengulas kenyataan Lian Ker yang mengenai UMNO di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kenyataannya yang menyentuh cara politik Khairy Jamaluddin.
Lian Ker turut menyatakan strategi UMNO tidak berkesan serta cara lama dan tidak diterima oleh kaum lain, khususnya masyarakat Cina.
Dalam pada itu, tegas Armand, UMNO sentiasa konsisten dalam gerak kerja transformasi politik khususnya untuk mendapat sokongan orang muda tanpa mengira kaum dan agama.
"UMNO konsisten membela kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. UMNO konsisten dalam asas konsep kekuatan BN iaitu politik khidmat bakti.
"Jadi kenyataan yang dikeluarkan Lian Ker ini dilihat tidak matang serta tidak memahami maksud setiakawan dalam BN sendiri," jelasnya.
Jelasnya lagi, UMNO terus dengan program-program kebajikan serta bantuan pada rakyat malah sokongan pada UMNO akhir-akhir ini semakin meningkat.
"Ini berdasarkan fakta, bukan auta. Ia dinyatakan bukan sahaja daripada bumiputera malah sahabat-sahabat daripada kaum yang lain berdasarkan keputusan PRK baru-baru ini.
"Seharusnya Lian Ker memikirkan cara untuk meraih sokongan masyarakat Cina kembali kepada BN dengan program yang dekat di hati rakyat, malah boleh belajar daripada Khairy seperti program FIT Malaysia yang mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat tanpa kira agama, bangsa mahu pun fahaman politik," katanya.
Tegas Armandi, Lian Ker juga diminta tidak mencampuri isu pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"MCA khususnya Lian Ker tidak perlu masuk campur urusan UMNO mengenai game changer. UMNO tahu bagaimana menghadapi game changer dan hendak mengatasinya.
"Saya sekali lagi hendak beri amaran pada Lian Ker, jangan keluarkan kenyataan yang tidak berasas serta emosi. Kita di dalam satu pasukan BN, sila gunakan cara setiakawan dalam mencari penyelesaian iatu perbincangan dan rundingan.
"UMNO konsisten untuk terus maju ke hadapan dalam transformasi politik demi kepentingan negara seperti dilaksanakan sejak merdeka sehingga kini," jelasnya.
#Armand #Khairy Jamaluddin #Lian Ker #MCA #PRU #taktik politik kuno #tidak diterima kaum lain #UMNO
;