Jangan tiru pembangkang guna media sosial tabur fitnah - Syed Ali
Astro Awani
November 3, 2017 10:15 MYT
November 3, 2017 10:15 MYT
UMNO perlu memberi perhatian serius terhadap kajian politik di pusat pengajian tinggi awam di negara ini bahawa media sosial akan mempengaruhi keputusan PRU-14 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Abbas Alhabshee berkata ia sekali gus menandakan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat hendaklah meningkatkan keupayaan menguasai 'peperangan' siber tersebut.
Menurut beliau, purata pengundi di Malaysia berdasarkan perangkaan semasa diwakili oleh golongan muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum.
Jelasnya, berdasarkan majoriti tersebut, penggunaan media sosial dilihat lebih berkesan untuk menarik sokongan pengundi muda berbanding media berbentuk konvensional.
"Penggunaan media sosial dalam pelbagai bentuk jaringan bukan lagi perkara baharu semasa PRU di negara ini.
"Penggunaan aplikasi telefon pintar dan teknologi maklumat bermula pada tahun 1992 ketika era pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO.
"Pada PRU ketika itu, serangan siber dilakukan pembangkang berjaya mengurangkan defisit kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ia sesuatu yang amat mengejutkan," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Sehubungan itu, Syed Ali mahu jentera siber UMNO berperanan secara lebih proaktif menjelang PRU ke-14 akan datang.
Beliau mengulangi seruannya kepada ahli-ahli UMNO agar tidak berterusan bersikap pasif apabila parti diserang pihak lawan sebaliknya perlu bingkas dengan semangat melawan.
"Selama ini, kecenderungan ahli-ahli parti dilihat selesa dengan pendekatan bertahan, tidak agresif dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pucuk pimpinan.
"Tugas mempertahankan parti bukan terpikul di atas bahu pemimpin atasan semata-mata, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab di peringkat akar umbi.
"UMNO memiliki lebih tiga juta ahli, ini jumlah yang begitu besar dan berupaya memporak-perandakan pihak lawan, jadi mengapa kita terlalu defensif?" soal beliau.
Syed Ali mengambil contoh, pakatan pembangkang akan menjadi gerun jika ketiga-tiga sayap UMNO -- Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri -- bergabung dalam satu pasukan media sosial yang mantap.
Katanya, UMNO mempunyai lebih 190 bahagian di seluruh negeri tidak termasuk ketiga-tiga sayap dan jumlah itu akan melahirkan ribuan tentera siber jika disusun secara terancang.
"Masalahnya, kita tidak berada dalam satu pasukan yang baik, secara jujur, ada sesetengahnya tidak memiliki kelengkapan dan keupayaan serta sokongan di peringkat bahagian," ujarnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bagaimanapun mengingatkan serangan dalam bentuk media sosial tidak seharusnya sarat dengan berita fitnah dan palsu.
Menurut Syed Ali, jika serangan dilakukan secara fitnah dan tidak berasas, ia akan melahirkan persepsi UMNO dan pihak pembangkang tidak ada bezanya.
"Kita (UMNO) tidak perlu untuk meniru pembangkang yang menggunakan media sosial untuk menyerang parti lawan dengan peluru fitnah, tohmahan dan provokasi.
"Sebaliknya, UMNO perlu lebih berhemah, berdisiplin dan menyekat penularan berita fitnah pembangkang dengan fakta dan kebenaran," katanya.