'Jangan timbulkan sengketa' - Najib
Astro Awani
Oktober 2, 2015 23:24 MYT
Oktober 2, 2015 23:24 MYT
Rakyat Malaysia digesa berhenti membuat kenyataan politik yang boleh membawa kepada masalah dan salah faham.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi kenyataan ringkas di Facebooknya, menegaskan ini bukan waktu untuk bersengketa tetapi waktu untuk berusaha memajukan negara.
"Saya mahu semua pihak di Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan berbaur politik yang boleh menimbulkan sengketa dan salah faham.
"Ini masa untuk kita bersatu pastikan negara kita terus maju, bukan berbalah dan tuduh-menuduh," katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Jumaat.
Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan memberi amaran kepada orang Cina Malaysia supaya tidak mengadu mengenai kerajaan negara ini kepada pihak luar dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada kerajaan asing.
"Saya nak bagi amaran juga kepada Cina-Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka," Tajuddin dipetik sebagai berkata pada sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di bangunan Matrade, di sini hari ini.