Jangan terpengaruh dengan janji kosong bekas pemimpin BN

Bernama
Oktober 2, 2017 01:13 MYT
MAXIMUS: Jangan membiarkan diri anda menjadi mangsa propaganda pembangkang. - Gambar fail
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengingatkan rakyat supaya jangan terpengaruh dengan janji kosong oleh bekas pemimpin Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata pihak pembangkang hanya pandai "menjual minyak" untuk menarik sokongan rakyat.
"Mereka tidak melaksanakan perkara-perkara itu apabila mereka mempunyai peluang (apabila mereka masih) dalam kerajaan," kata Ongkili pada majlis penyerahan peralatan dapur kepada 37 Cawangan Wanita PBS Mukim Simpangan di sini, hari ini.
Beliau juga menyifatkan janji utama Pakatan Harapan seperti mempertahankan hak-hak Sabah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menawarkan jawatan nombor dua negara (timbalan perdana menteri) bagi Sabah dan Sarawak sebagai "meludah ke langit'.
"Ia cuma bertujuan untuk memancing pengundi. Jangan termakan dengan janji-janji itu. Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun ...mengapa beliau tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua untuk Sabah dan Sarawak?" Ongkili bertanya.
Menyentuh mengenai hak Sabah, Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata ketika itu, adalah dilarang untuk membincangkan mengenai MA63 dan Perjanjian 20 Perkara terutama semasa era Mahathir.
"Jika berbuat demikian, orang itu akan dipenjarakan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan saya adalah seorang daripada mereka yang diletakkan di bawah tahanan ISA," kata beliau.
Sementara itu, beliau berkata sayap wanita parti memainkan peranan yang tidak kurang penting dengan sayap-sayap yang lain terutama untuk mendekati isi rumah dan keluarga bagi menyampaikan mesej sebenar BN.
Beliau berkata rakyat perlu mendengar mesej yang betul tentang apa yang dilaksanakan oleh kerajaan BN untuk rakyat.
"Jangan membiarkan diri anda menjadi mangsa propaganda pihak pembangkang," kata Ongkili.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #BN #ISA #Maximus Ongkili #PBS #pemimpin #politik