Jangan termakan hasutan pembangkang - PM Najib

Hafiz Marzukhi
Februari 4, 2018 16:49 MYT
Najib melepaskan itik untuk ditangkap penduduk yang menyertai pesta tangkap ikan dan itik di Estet Ikan Paya Kampung Chempaka, Lanchang hari ini. - fotoBERNAMA
Rakyat diingatkan supaya tidak percaya kepada hasutan pembangkang yang hanya menimbulkan isu apabila tiba musim pilihan raya.
Ini kerana, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isu yang dibawa pembangkang hanya bertujuan mengelirukan rakyat bagi meraih sokongan mereka.
"Cuba kita lihat Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, mereka (pembangkang) memainkan isu kilang Lynas di Kuantan.
"Sedangkan agensi atom bertaraf antarabangsa telah menyatakan bahawa kilang Lynas selamat, mereka pula menyatakan sebaliknya," katanya.
"Begitu juga dengan isu berkaitan blackout (bekalan elektrik terputus) di Bentong, sedangkan proses pengundian tamat selepas pukul 5 petang dan undian boleh dilakukan kerana keadaan pada masa itu masih cerah," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Estet Ikan Kampung Chempaka, Lanchang hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Estet Ikan Paya Kampung Chempaka, Lanchang di sini.
Perdana Menteri juga menyelar tindakan pembangkang, terutamanya tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertemu dengan beberapa wakil Kesatuan Eropah (EU) di ibu negara minggu lepas untuk membuat aduan berhubung sistem pilihan raya negara yang diamalkan selama ini.
"... itulah sistem yang mengangkat dia (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Baru sekarang dia nak mengadu... kata sistem tidak adil. Kalau tidak adil, sepatutnya dari dulu lagi sudah membuat aduan.
"Sebenarnya sistem itu adalah sistem yang adil. Mana boleh kita nak tipu kerana di situ ada ejen mengira... pembangkang juga ada wakil di situ, kalau ada yang tidak kena, mereka boleh buat aduan," katanya.
BACA: Tun M cakap tak serupa bikin - Hishammuddin
BACA: Pakatan Harapan amal politik terdesak undang campur tangan asing
Justeru, Najib menasihatkan rakyat untuk memeriksa kesahihan setiap berita yang dibawa pembangkang.
Malah, katanya, konsep itu juga diterapkan dalam ajaran Islam iaitu Tabayyun supaya tidak berlaku perkara tidak adil jika sesuatu perkara dipercayai tanpa usul periksa.
Beliau seterusnya berharap masyarakat akan terus menyokong dan memberikan mandat yang besar kepada kerajaan sedia ada pada PRU14 akan datang bagi membolehkan lebih banyak program membantu rakyat dilaksanakan.
"Kita perlukan kerajaan yang kuat. Bila kerajaan kita kuat, baru kita boleh meneruskan usaha membantu rakyat. Kita boleh beri kata dua kepada sesiapa yang tidak menghormati kita," katanya.
Najib berkata demikian merujuk kepada pendirian Perancis yang tidak mendiskriminasikan minyak kelapa sawit walaupun blok EU mengenakan larangan import komoditi itu ke pasaran Eropah menjelang 2021.
BACA: Kami tidak diskriminasi minyak sawit, sedia bekerjasama - Duta alam sekitar Perancis
BACA: Tiada sekatan, tiada diskriminasi terhadap minyak sawit - kata Menteri Perancis
Katanya, keputusan itu dibuat selepas pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly, baru-baru ini.
#diskriminasi #EU #minyak kelapa #Najib Razak #pembangkang #pilihan raya #PRU #sawit #Tabayyun
;