Jangan terlalu selesa dengan kemenangan PRK Nenggiri - Mohamad

Bernama
Ogos 30, 2024 23:19 MYT
Mohamad (kanan) beramah mesra bersama warga emas Abd Rahman Salam (tengah) selepas menyampaikan bantuan barangan makanan dan perubatan pada Ziarah Kasih Tokmat di Kampung Nerasau hari ini. - Gambar Bernama
REMBAU: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
Beliau berkata hal ini kerana setiap pilihan raya itu berlainan terutamanya dalam mengambil kira faktor demografi sesuatu tempat.
"Kita jangan terbawa-bawa dengan menang 3,000 lebih undi semasa PRK Nenggiri, kita rasakan bahawa PRK Mahkota pun boleh menang selesa.
"Kita perlu tahu, di Nenggiri itu kawasan luar bandar dan penduduknya hampir 99 peratus ialah orang Melayu, dan di Mahkota ia merupakan kawasan bandar yang penduduknya berbilang kaum iaitu Melayu sebanyak 57 peratus, kaum Cina (34 peratus) dan juga India tujuh peratus.
"Ia merupakan kawasan pengundi yang mempunyai latar belakang berbeza daripada Nenggiri. Pengundi juga mempunyai perbezaan pendapat," katanya kepada pemberita pada program Ziarah Kasih DUN Kota di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata jumlah pengundi muda berumur bawah 40 tahun di DUN Mahkota lebih 50 peratus, jadi pendekatan berkempen perlu berbeza iaitu menepati kehendak pengundi.
"Pengundi muda selalunya dipengaruhi media sosial, maka sudah pasti BN dan jentera daripada Kerajaan Perpaduan perlu menguatkan kempen dalam gerak kerja di media sosial," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan calon, Mohamad berkata UMNO Bahagian Kluang dan UMNO Perhubungan Negeri Johor diminta untuk mengemukakan senarai pendek nama calon berkaliber untuk dinilai.
"Insya-Allah, dari segi pemilihan calon kita ada ramai yang berkaliber dalam BN, namun kita akan memilih seorang calon yang dapat memenuhi cita rasa pengundi di Mahkota nanti," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #Suruhanjaya Pilihan Raya #PRK Nenggiri #UMNO