Jangan terlalu ghairah, masa terbaik bubar Parlimen selepas Bajet 2023 - Nazri
Irwan Muhammad Zain
April 21, 2022 13:14 MYT
April 21, 2022 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Tempoh terbaik untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan adalah selepas Bajet 2023 dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengemukakan cadangan tersebut selepas ada pihak-pihak yang mahu Parlimen dibubarkan pada Julai atau September nanti.
Hujah Mohamed Nazri, pembentangan bajet yang bagus dan meyakinkan mampu menarik sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Beliau juga menegaskan, seseorang ahli politik yang bijak akan meminta Parlimen dibubarkan selepas kerajaan membentangkan bajet kerana boleh meyakinkan pengundi.
"Yang terbaik sekali untuk bubar dan diadakan PRU15 adalah kita tunggu selepas Bajet 2023 dibentang dan diluluskan di Parlimen.
"Kita sebagai seorang ahli politik yang tidak cerdik kalau kita tidak menggunakan kesempatan yang boleh ada pada kita iaitu untuk mengumumkan bajet, yang baik, yang rakyat suka, kalau rakyat suka dia akan sokong kita.
"Mengapa hak ini ada pada kita, yang legit, yang sah kita tidak mahu guna. Ini kadangkala saya rasa setengah-setengah kita terlalu nampak tentang kepentingan diri sahaja.
"Nak buat PRU kenapa? Kerana mereka lihat kali ini kita menang semua nak jadi Ahli Parlimen, semua nak bertanding.
"Ini masalah kita, terlalu banyak kepentingan peribadi. Fikirlah kepentingan parti," katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, Mohamed Nazri juga menasihatkan pihak-pihak yang ghairah mahu Perdana Menteri membubarkan Parlimen agar tidak membelakangi Yang Di-Pertuan Agong.
Beliau menjelaskan, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai hak yang sah dari segi Perlembagaan sama ada mahu membubarkan Parlimen atau sebaliknya.
"Kalau Agong memikirkan pandemik ini tidak selesai lagi, ekonomi pun belum betul-betul pulih, baginda ada hak untuk tidak menerima nasihat Perdana Menteri untuk bubar Parlimen.
"Jadi kita jangan ghairah sangat, kita kena hormat Yang Di-Pertuan Agong dan institusi raja. Pada saya institusi raja ini kena hormat kerana mereka juga ada hak," katanya lagi.
Cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen timbul selepas ada pihak yang mahu PRU15 disegerakan selepas BN mencapai kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini.