Jangan terlalu berpolitik, sabotaj usaha kerajaan selesai isu rakyat Sabah
Bernama
Mac 12, 2024 08:15 MYT
Mac 12, 2024 08:15 MYT
KOTA KINABALU: Parti pembangkang di negeri ini diingatkan agar tidak terlalu bermain politik sehingga mensabotaj usaha kerajaan negeri untuk membawa pembangunan serta mengatasi isu lama yang membelenggu negeri itu.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus (GRS-PH Plus) sentiasa memberi fokus membangunkan Sabah dan meningkatkan hasil negeri.
Malah kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga memulakan tindakan untuk mengatasi masalah diwarisi daripada kerajaan terdahulu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu.
"Tanggungjawab parti pembangkang yang baik adalah memberi teguran membina kemajuan dan bukannya membuat tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mengambil apa-apa langkah penyelesaian," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Nizam berkata komitmen kerajaan GRS-PH Plus dalam membangun Sabah dapat dilihat menerusi projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, Papar dan LRA Telibong II, Tuaran serta pembinaan empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom; selain menyediakan bantuan rumah mesra SMJ dan memperkasa modal insan antara lain dengan pemberian biasiswa pendidikan.
-- BERNAMA