Jangan 'tekan' PM Najib berhubung calon PRU14 - Syed Ali
Astro Awani
Disember 18, 2017 14:00 MYT
Disember 18, 2017 14:00 MYT
Pemimpin UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemilihan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, fokus utama adalah memenangi seberapa banyak kerusi dalam PRU14 dan seterusnya membetuk kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib yang juga presiden parti.
"Datuk Seri Najib mempunyai kriteria tertentu dalam soal pemlihan calon yang semestinya mencari kaedah terbaik bagi memastikan kemenangan BN.
"Soal pengagihan kerusi sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen juga tidak sewajarnya dijadikan isu oleh mana-mana komponen BN.
"UMNO dan BN perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai dan memlih calon yang berupaya memastikan BN memenangi lebih dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Menjelaskan setakat ini tiada unsur tekanan dihadapi Datuk Seri Najib, tetapi Syed Ali melahirkan kebimbangan, jika berlaku tekanan, ia dikhuatiri merencatkan persiapaan jentera pilihan raya berdepan parti pembangkang.
"Setakat ini kita belum lagi dengar ada yang tekan atau desak Perdana Menteri untuk jadi calon, jadi saya amat berharap tidak akan berlaku. Matlamat kita jelas untuk memenangi PRU," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mahu pemimpin UMNO dan BN menerima keputusan dibuat oleh Datuk Seri Najib kerana setiap tindakan itu menjuruskan kepada kepentingan kepada parti.
Sehubungan itu katanya, sindrom 'cah keting' kerana kecewa diharap tidak akan berlaku jika seseorang atau mana-mana wakil komponen BN tidak tersenarai sebagai calon pada PRU akan datang.
"Mana-mana calon yang tidak terpilih perlu berlapang dada dan memusatkan perhatian untuk terus berganding bahu membantu jentera parti mengalahkan parti lawan.
"Perjuangan kita untuk kepentingan parti, bukannya kerana agenda peribadi, kita mahu parti kita (UMNO) menang kerana dengan kemenangan itu akan membolehkannya membentuk kerajaan.
"UMNO mahu menang cemerlang bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil dengan sokongan padu komponen BN," tegasnya sambil berkata pentadbiran Datuk Sei Najib masih diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sekali lagi mengulangi ingatan beliau supaya jentera UMNO setiap peringkat sentiasa peka dan pro-aktif mengekang penularan provokasi pembangkang menerusi media sosial.
"Ada pihak berkata UMNO tidak perlu gusar dengan media sosial pro-pembangkang kerana ianya berbau fitnah, tetapi kita (UMNO) tidak boleh menganggap mudah kerana PRU14 merupakan pertempuran paling sengit membabitkan penggunaan media sosial.
"Fitnah merupakan perbuatan amat terkeji yang menyimpang daripada asas kebenaran tetapi perbuatan itu tetap menjadi pilihan pembangkang kerana mereka percaya memfitnah boleh memesongkan pertimbangan akal.
"UMNO perlu berkerja keras menyekat penyebaran fitnah yang ditularkan pembangkang kerana selain merosakkan pertimbangan akal, ia boleh menjerumuskan masa depan negara dalam keadaan bercelaru," ujarnya.
Jelasnya lagi, apabila ada satu kumpulan mempercayai sesuatu pembohongan yang dilakukan secara fitnah, ia akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan insan dan negara itu sendiri.
Dalam pada itu, Syed Ali turut mengulas kenyataan pemimpin kanan Pas yang mendakwa tidak mustahil pemimpin parti itu akan menjadi Perdana Menteri selepas PRU14 dengan menyifatkannya sebagai 'gurauan politik' untuk memanaskan keadaan semasa.
"Biarkanlah Pas dengan cerita mereka, bagi saya tiada apa-apa, sekadar gurauan politik menjelang PRU ke-14," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata pada PRU akan datang, parti mungkin tidak menang banyak, tetapi tidak mustahil kalau Perdana Menteri adalah daripada wakil Pas.
#Barisan Nasional
#Calon BN
#Cheras
#Dewan Rakyat
#fitnah
#komponen BN
#Najib Razak
#Parlimen
#PAS
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#PRU
#Syed Ali
#UMNO