Jangan tangguh pemilihan UMNO 2016, kata Muhyiddin

Astro Awani
November 25, 2014 23:40 MYT
MUHYIDDIN: UMNO mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. - fotoBERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.
Beliau juga mencadangkan Perlembagaan UMNO dipinda pada tahun depan untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti itu.
"Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya," kata beliau semasa berucap merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Timbalan Presiden UMNO itu melontarkan cadangan itu dalam kerangka idea untuk meremajakan UMNO yang katanya berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan orang muda.
UMNO mengadakan pemilihan parti pada Oktober 2013 selepas menangguhkannya untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13. Pemilihan itu sepatutnya dilangsungkan pada 2012.
Mandat kepimpinan UMNO sekarang akan berakhir pada 2016. Mandat Parlimen sekarang pula akan berakhir pada 2018.
Menurut Muhyiddin, pemimpin UMNO mesti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri dan sekiranya ada yang jadi batu penghalang kepada peremajaan parti, mereka mesti berundur secara terhormat.
"(UMNO) mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO," katanya.
Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di PWTC pada Selasa. - fotoBERNAMA
Muhyiddin seterusnya bertanya apakah seruan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak supaya UMNO berubah yang disuarakan sejak 2008 diambil serius oleh ahli UMNO atau masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Tegas Muhyiddin, UMNO tidak boleh memaksa rasa hormat rakyat kepadanya sebaliknya berusaha dan berkhidmat untuk mendapatkan rasa hormat itu.
Katanya, UMNO perlu membina keyakinan, menunjukkan keazaman dan menghamparkan harapan bahawa ini parti yang terbaik untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.
#Melayu #Muhyiddin Yassin #pemilihan parti #UMNO
;