Jangan silap langkah pilih parti serpihan - Datu Nasrun
Bernama
Februari 5, 2017 12:24 MYT
Februari 5, 2017 12:24 MYT
Penduduk Lahad Datu dinasihatkan agar tidak tidak membuat pilihan yang salah dengan memilih parti serpihan pembangkang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana ia merugikan diri mereka dan boleh menggadai masa depan kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata penubuhan parti serpihan pembangkang ini hanya untuk mengelirukan rakyat dengan persepsi negatif dan janji-janji manis untuk meraih sokongan.
"Tidak seperti UMNO, matlamat UMNO adalah memperjuangkan isu sejagat, memperjuangkan agama Islam, mempertahankan raja-raja dan memperjuangkan hak-hak Bumiputera Melayu.
"Tetapi penubuhan parti-parti kecil (pembangkang) ini tujuannya hanya diketahui oleh presidennya sendiri dan ahlinya juga tidak faham kewujudan parti berkenaan," katanya pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Kampung Sharif di sini, semalam.
Beliau yang juga anggota Parlimen Silam berkata, sejak 10 tahun lalu kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membawa kemajuan pembangunan terhadap daerah Lahad Datu sejajar dengan prinsip UMNO untuk membela nasib rakyat dan memperjuangkan kepentingan masyarakat di sini.
"Lahad Datu sedang menikmati kepesatan pembangunan, pelebaran jalan raya iaitu Jalan Silam dan Jalan Segama, Dewan Serbaguna, kompleks sukan, pertambahan lampu isyarat dan beberapa kemajuan lain yang sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 ini termasuklah projek-projek lain seperti Lebuh Raya Pan Borneo Lahad Datu Bypass" katanya.
-- BERNAMA