Jangan sibuk soal pembubaran parlimen, teruskan tugas sebagai wakil rakyat - Nanta
Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 15, 2022 14:12 MYT
Mei 15, 2022 14:12 MYT
KAPIT: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan agar setiap wakil rakyat tidak terlalu taksub dalam berpolitik sehingga melupakan tanggungjawab utama mereka kepada kebajikan rakyat.
Walaupun desas desus pembubaran Dewan Rakyat dijangka berlaku pada suku terakhir tahun ini, wakil rakyat terutamanya yang berperanan sebagai anggota jemaah menteri tegasnya perlu fokus kepada amanah dan tugas yang perlu diselesaikan.
Jelasnya, persoalan adakah Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat atau tidak diserahkan sepenuhnya kepada pihak yang layak, terutama Perdana Menteri sebagai pucuk pimpinan kerajaan pusat.
“Kita tak tahu bilakah tarikh pembubaran itu, ia terpulang kepada pihak yang lebih layak menentukannya dan bagi kami di pihak kerajaan, sebagai wakil rakyat kita akan teruskan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ahli parlimen.
“Saya juga sebagai ahli jemaah menteri kita tidak mahu terlalu memikirkan soal pilihan raya sangat, jangan terlalu banyak berpolitik biarlah kita tumpu perhatian kepada tanggungjawab dan sebagainya untuk rakyat,” katanya kepada Astro Awani selepas menyerahkan bantuan pendidikan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, Setiausaha Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu yakin gabungan teraju kerajaan negeri itu tidak mempunyai sebarang masalah sebaliknya bersedia untuk menghadapi hari penting itu pada bila-bila masa.
“Kami di GPS sentiasa berada di lapangan yang maksudnya usaha kita sentiasa berterusan bukannya menunggu pilihan raya menjelang barulah kita bersedia.
“GPS sudah pasti bersedia setiap masa, dan kita teruskan dengan usaha-usaha yang boleh dikatakan sebagai tanggungjawab biasa dan boleh juga diterjemahkan nanti sebagai persediaan yang berterusan dari setiap wakil rakyat,” katanya lanjut.
Tempoh penggal Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama persidangan Parlimen ke-14 iaitu pada 16 Julai 2018 lalu.
Bagaimanapun ia boleh dibubarkan lebih awal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian PRU perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
Daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak, 19 daripadanya dipegang oleh wakil rakyat GPS dan kerusi parlimen selebihnya diwakili parti pembangkang iaitu PSB, DAP, BERSATU, PKR, BEBAS dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).