Jangan semarak sentimen perkauman semasa kempen PRU14 - Syed Ali
Astro Awani
April 11, 2018 17:18 MYT
April 11, 2018 17:18 MYT
Blok pembangkang diingatkan tidak menyemarakkan sentimen perkauman dan bermain dengan isu fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, menyalakan api perkauman dan menabur serangan fitnah menerusi laman-laman sosial untuk menagih undi dikhuatiri akan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.
"Blok pembangkang (Pakatan Harapan) diingatkan jangan terlalu ghairah untuk memenangi PRU dengan membakar sentimen perkauman, perbuatan itu bertentangan dengan semangat perpaduan yang dipupuk selama.
"Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dan pelbagai agama yang selama ini hidup dalam suasana aman dengan berpegang kepada semangat perpaduan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Inilah salah satu kejayaan terbesar UMNO dan BN iaitu berjaya membina sebuah negara bangsa yang paling unik di dunia dan perpaduan sedemikian perlu kita pertahankan," katanya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Jelas Syed Ali, meruntuhkan semangat perpaduan kerana agenda politik akan melahirkan keadaan yang boleh menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara satu sama lain.
"Dalam hal ini, Pakatan Harapan perlu mengawal emosi dan tingkah laku mereka sehingga boleh mencemari proses berkempen sehingga hari pembuangan undi.
"Saya juga menyambut baik tindakan tegas pihak polis yang akan memberi tumpuan di beberapa lokasi panas pada PRU kali ini," ujarnya.
Menurut Syed Ali, UMNO khususnya BN akan menjalankan kempen secara berhemah dan menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka perlu menolak calon pembangkang.
"UMNO tidak akan bermain dengan fitnah, UMNO tidak akan bermain dengan emosi sebaliknya akan meyakinkan rakyat bahawa manifesto BN adalah janji yang mampu ditunaikan jika kita (BN) kekal memerintah," katanya.
Beliau mendakwa, Pakatan Harapan yang mengemukakan manifesto yang pelbagai seperti 'jualan murah' dan hanya sekadar taburan janji yang tidak akan menjadi kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan, penggunaan lambang 'mata Keadilan' oleh parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak akan memberi saingan sengit kepada BN.
"Penggunaan logo Keadilan hanya akan menguntungkan DAP yang ingin mengemis undi Melayu di beberapa kawasan yang mereka tandingi.
"DAP sebenarnya cuba menyorok di belakang PKR untuk mengelirukan pengundi Melayu. Taktik sedemikian tidak akan mempengaruhi sikap pengundi," katanya
Syed Ali juga menolak dakwaan pembangkang kononnya UMNO Wilayah Persekutuan bertelagah berhubung pemilihan calon di beberapa kerusi Parlimen.
"Karut. Dakwaan itu fitnah dan propaganda murahan pembangkang. UMNO Wilayah Persekutuan 'solid', kita akur apa juga keputusan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.
#Barisan Nasional
#DAP
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Memilih
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#PKR
#PRU14
#Syed Ali Syed Alhabshee
#UMNO