Jangan salahkan Tun Mahathir jika RoS haramkan UMNO - Rahim

Astro Awani
Jun 25, 2019 15:00 MYT
Menurut Rahim, nama parti baharu untuk bekas ahli UMNO tidak boleh menggunakan nama UMNO lagi kerana nostalgia dan kecemerlangan UMNO dahulu. - Gambar REUTERS/Samsul Said
Semua pihak yang berkepentingan diminta tidak menyalahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jika UMNO terpaksa diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata,
situasinya akan menjadi sama seperti UMNO pernah diharamkan satu masa dahulu selain perlanggaran undang-undang yang sudah dibuat parti itu sendiri hari ini.
"Ketika UMNO terlalu kuat satu ketika dahulu di bawah kepimpinan Perdana Menteri keempat, rakyat bersetuju dengan keputusan dan tindakan mahkamah yang mengharamkan UMNO kerana berpendapat kedaulatan undang-undang adalah sendi dan tulang belakang kepada negara dan sistem pentadbiranya.
"Tiada masa depan bagi sesuatu negara dan rakyatnya tanpa pelaksanaan sepenuhnya konsep dan operasi kedaulatan undang-undang.
"UMNO kini bukan sahaja telah melanggar undang-undang tubuhnya sendiri (Perlembagaan) bila mengadakan perhimpunan agung tahunannya melebihi 18 bulan, gagal menghantar 50 peratus dari laporan tahunan mesyuarat agung 25,000 cawangannya kepada RoS malah kini penglibatan keseluruhan jentera dan personaliti parti dalam penerimaan dan penggunaan wang haram semakin terserlah dalam mahkamah dan media yang disaksikan rakyat," katanya.
Rahim berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Selasa.
BACA: UMNO paling banyak terima dana 1MDB - KP SPRM
BACA: Mukhriz tidak tahu dana 1MDB disalur kepada UMNO Kedah
Sebelum ini, Ketua Pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada RoS berhubung dakwaan UMNO menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tegasnya, UMNO harus dihukum kerana sebagai parti politik, ia tidak boleh menerima wang haram demi kepentingan parti itu.
Dalam pada itu, kata Rahim, kesalahan itu teramat besar jika dibandingkan dengan kesalahan UMNO ketika diharamkan pada masa lalu.
"Dari segi hakikatnya, berdasarkan kejituan kedaulatan undang-undang yang diamalkan di negara ini, parti-parti lain seperti MCA, MIC, Pas dan beberapa parti kecil di Sabah dan Sarawak mesti juga diharamkan bersama UMNO jika benar-benar mereka terlibat dalam penerimaan dan pengunaan wang haram dari duit yang dirompak.
"Senario ini mungkin pelik dan teramat luar biasa, sukar diterima dan tidak masuk akal. Tetapi pilihan kepada rakyat adalah sama ada mahu menegakkan kebenaran melalui kedaulatan undang-undang atau membiarkan sahaja pelanggaran undang-undang sewenang-wenangnya, amalan jenayah yang berleluasa serta tutup mata sahaja terhadap budaya rasuah yang terus mencekik leher negara tercinta ini?" soalnya lagi.
Sementara itu katanya, terdapat banyak kebaikan daripada tragedi pengharaman parti-parti politik yang korup di negara ini.
"Antaranya, bekas ahli UMNO boleh memilih untuk menubuhkan satu parti baru dengan nama baru serta berazam menjadi sebuah parti yang lebih bersih, berwibawa, bebas rasuah dan bebas penyelewengan.
"Situasi dalam UMNO sekarang amat tertekan dan tiada hala tuju. UMNO sudah menjadi parti keanak-anakan disebabkan mahu muncul dengan perjuangan dan idealisme baru setelah kecundang dalam PRU14 yang lalu.
"UMNO kini terpaksa menunggang kuda Pas untuk mempamerkan imej baru ini. Bukan sukar untuk memisahkan antara pemimpin UMNO yang ada wang tetapi korup dengan pemimpin yang tidak banyak wang tetapi berhasrat untuk membangunkan semula parti dengan ikhlas," ujarnya.
Katanya lagi, yang menjadi mangsa kini adalah pejuang-pejuang kecil di kampung yang masih dikhayalkan dengan nostalgia perjuangan UMNO dahulu.
Menurutnya, parti-parti lain dari UMNO juga tidak lagi signifikan seperti dahulu.
"Ganti sahaja dengan nama parti yang lain. Kecuali MCA dan Pas. Seperti UMNO dahulu ketika diharamkan, MCA kena mencari satu formula untuk menyelamatkan harta mereka yang bernilai tidak sedikit.
"Namun dengan adanya kerjasama dan semangat serumpun Tionghua seMalaysia, urusan ini bisa dibereskan dalam masa terpendek," jelasnya.
Manakala Pas pula, kata Rahim, tidak menjadi masalah besar kepada mereka asalkan nama Islam boleh digunakan semula dalam parti baharu kelak.
"Bagi Pas, nama Islam itu keramat dan telah menjadi modal politik yang paling laris sejak ia menjadi parti politik. Sama ada perjuangan Pas itu kotor atau bersih dalam laluan sejarah politik tanahair, 'Islam' itu yang dikudakan untuk mencapai matlamat politik mereka.
"Demi mempertahan dan memelihara Islam serta imejnya di negara ini, Pas tidak boleh menggunakan lagi nama Islam dalam parti baru mereka. Mereka mungkin boleh menggunakan nama 'Muslim' yang lebih reflektif terhadap perjuangan hamba-hamba Allah yang serba kekurangan daripada bertopengkan agama untuk aktiviti politik mereka," tegasnya.
Jelasnya, seperti Pas, nama parti baru untuk bekas ahli UMNO tidak boleh menggunakan nama UMNO lagi kerana nostalgia dan kecemerlangan UMNO dahulu.
Katanya, nama UMNO yang hebat, cemerlang dan keramat dahulu akan disalahgunakan untuk mempamerkan ciri-ciri dan imej UMNO masa kini yang pada pandangan rakyat masih korup dan tidak amanah.
#1MDB #ekonomi #MCA #Melayu #MIC #Pakatan Harapan #PAS #perhimpunan #politik #Rasuah #SPRM #UMNO #undang-undang
;