Jangan salah tafsir ucapan Zaidi, kita ada 'problem' dengan Guan Eng sahaja - Reezal
Astro Awani
Disember 2, 2014 09:14 MYT
Disember 2, 2014 09:14 MYT
UMNO Pulau Pinang bertegas hanya bermasalah dengan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkan hipokrit, angkuh dan sombong namun tidak pernah mengenepikan, apatah lagi menyemat elemen kebencian kepada mana-mana kaum di negara ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun isu Guan Eng itu tidak mampu disorok dan dinafikan, ia tidak bermakna UMNO negeri itu bermasalah dengan rakan bukan berbangsa Melayu dan Bumiputera yang lain.
"Itu hanya interpretasi dangkal seorang Ketua Menteri yang cetek akal dan mencari 'modal politik segera'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Reezal mengulas penjelasan yang diberikan Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkenaan ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu.
Mohd Zaidi yang berucap di atas kapasiti perwakilan Pulau Pinang diserang sejak Jumaat lepas kerana berkata kekuatan masyarakat Cina datang daripada perniagaan haram seperti judi, pelacuran dan pusat hiburan.
Ucapan itu sekaligus mengundang kemarahan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ADUN Bagan Dalam A Tanasekharan yang membuat laporan polis di balai polis di negeri itu hari ini.
Jelas Reezal lagi, penjelasan ikhlas dan jujur itu wajarlah diterima sebagai asas kukuh sebelum mana-mana pihak terus memanipulasi secara negatif ucapan wakil UMNO Pulau Pinang tersebut.
"Zaidi menjelaskan secara spesifik dalam kenyataan akhbarnya..."Perkataan 'kadang-kadang' menunjukkan tidak semua (kaum Cina di Pulau Pinang) begitu. Saya sebut dengan jelas dalam ucapan saya. Saya tidak kata semua Cina di Pulau Pinang, saya kata 'kadang-kadang ada segelintir orang Cina di Pulau Pinang' terlibat dalam aktiviti begitu".
"Ayat 'kadang-kadang ada segelintir orang Cina di Pulau Pinang' itu ada konteks waktu dan situasinya. Ianya bukan ayat yang semberono," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, ucapan Mohd Zaidi perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak diambil secara khusus kepada elemen perniagaan haram semata-mata.
"Sebagai pemimpin berpengalaman di peringkat akar umbi, saya tidak fikir Zaidi akan mengambil jalan dan kenyataan politik yang membenci kaum lain.
"Saya mengharapkan kenyataan akhbar Zaidi akan mengakhiri pelbagai spekulasi dan salah tanggap masyarakat secara umumnya. Adat pemimpin politik, adakalanya 'niat asal' ucapan disalahtafsir, namun ia tidak memadamkan sama sekali 'realiti' tekanan ekonomi dan politik yang terpaksa dihadapi oleh rakyat di Pulau Pinang pada saat dan ketika ini," jelasnya.
Sebuah portal melaporkan Mohd Zaidi di dalam sidang medianya menyalahkan media kerana membuat beliau kelihatan bersifat perkauman dengan mengatakan seolah-olah semua kaum Cina di Malaysia kaya dan berpengaruh hasil kegiatan haram.