Jangan putar belit kenyataan Ahmad Maslan, dia tidak rujuk kes saya - Najib

Hasimi Muhamad
Januari 8, 2021 16:22 MYT
Tegas Najib, apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Pontian itu adalah berkaitan ketidakadilan perundangan dan salah guna kuasa kerajaan Pakatan Harapan (PH). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menepis dakwaan segelintir pihak termasuk pemimpin UMNO yang memutar belit kenyataan dan memfitnah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Ahmad tidak sesekali menyatakan bahawa salah satu sebab UMNO tidak berpuas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana kes mahkamah yang melibat pemimpin parti Melayu itu tidak ditarik balik.
Sebaliknya, tegas Najib, apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Pontian itu adalah berkaitan ketidakadilan perundangan dan salah guna kuasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak dibetukan oleh kerajaan sekarang.
"Dia (Ahmad) tidak merujuk kes-kes saya atau mana-mana kes pemimpin UMNO tetapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun.
"Kesemua melibatkan wang yang dibayar oleh saya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kena tanya kenapa 80 pihak dikenakan notis sitaan dan 41 lagi didakwa dan dikompaun sehingga berpuluh kali ganda jumlah wang yang dibayar saya, sedangkan ia melibatkan isu yang sama iaitu menerima bayaran daripada saya," demikian tulis Najib dalam entri di laman Facebooknya, pada Jumaat.
Terdahulu, Ahmad didakwa berkata tindakan PN meneruskan ‘kezaliman’ kerajaan terdahulu sebagai tidak wajar, dan menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan ahli UMNO.
Selain itu, Ahmad menerusi laporan sebuah portal berita, mendakwa salah satu sebab utama UMNO tidak puas hati dengan PN adalah kerana tindakan PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.
BACA: UMNO tidak sokong Bersatu kerana kes mahkamah? Itu pemikiran 'pisang goreng' - Khairy
Mengulas lanjut, Najib berkata, selain Ahmad, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga menerima bayaran daripadanya.
Bagaimanapun, hanya Ahmad dan Tan Sri Shahrir Abd. Samad sahaja yang didakwa di mahkamah, sebaliknya dua pemimpin berkenaan 'terselamat' kerana melompat dari UMNO.
"Ahmad dan Shahrir Samad juga menerima dana politik daripada saya dan mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan UMNO dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah pula.
"Adakah ini adil? Patutkah Ahmad membisu sahaja dan tidak mengadu? Ianya memang adalah kenyataan bahawa kerajaan PH telah salahguna kuasa kerajaan untuk kenakan pemimpin-pemimpin UMNO," jelas beliau.
Justeru kata Najib, PN tidak mengambil usaha untuk membetulkan salahgunakuasa yang telah dibuat oleh PH sebelum ini, termasuk beberapa kes melibatkan pemimpin PH yang digugurkan, atau tidak didakwa semula di mahkamah.
Ia antaranya melibatkan kes banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, laporan kes Suruhanjaya Siasatan membabitkan urus niaga mata wang asing (forex) sefta kes kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) melibatkan wakil rakyat DAP.
"Dalam kes melibatkan pemimpin UMNO pula, ada pegawai yang telah mengaku dalam mahkamah bahawa mereka menerima rasuah dan ada juga mengaku ada pemalsuan surat arahan bank tetapi kesemuanya tidak didakwa atau dakwaan ditarik balik dan dijadikan saksi untuk mengenakan kita pula," katanya.
#Najib Razak #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mas Ermieyati Samsudin #Ahmad Maslan #Mustapa Mohamed #Malaysia Airlines #Ketua Menteri #PRU14
;