Jangan pinggir nama 'underdog' sebagai calon KM Sabah - Penganalisis

Harits Asyraf Hasnan
September 27, 2020 14:30 MYT
Calon dari PBS dan STAR perlu dipertimbang kerana berjaya mengalih undi KDMR dari UPKO, selain Masidi Manjun dan Andi Muhammad Suryady. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mempertimbang beberapa nama bukan pilihan atau 'underdog' sebagai calon Ketua Menteri Sabah dalam memberi nafas baharu kepada negeri itu.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, selain Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Mohamed Salleh Said dan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, calon dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga perlu diambil kira.
Ujarnya, ia selepas dua parti itu berjaya mengalih undi etnik Kadazan, Dusut, Murut dan Rungus (KDMR) dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
"Kalau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ingin mengangkat 'orang luar' tapi disenangi, ada prestasi, pengalaman dan disenangi... dalam konteks peralihan undi yang menyaksikan KDMR banyak berpaling undinya daripada UPKO kepada parti-parti KDMR yang bertanding terutamanya STAR dan PBS.
"Barangkali, ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun juga boleh dipertimbangkan.
"Jika kita kata calon baharu yang muda dari UMNO juga boleh dicadangkan iaitu ADUN Tanjung Batu di Tawau (Andi Muhammad Suryady Bandy)... orang muda yang mungkin boleh diberi peluang untuk menjadi Ketua Menteri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI di sini pada Ahad.
Ketika ini difahamkan proses rundingan bagi menetapkan Ketua Menteri Sabah yang baharu sedang berlangsung melibatkan kesemua 38 ADUN GRS bersama tiga lagi ADUN Bebas.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitternya berkata semua ketua parti dalam GRS dan Bebas turut dijadual akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini.
#calon Ketua Menteri Sabah #Ketua Menteri Sabah #GRS #Gabungan Rakyat Sabah #Ketua Menteri #UMNO #BN #Bung Moktar Radin #Hajiji Mohd Noor #Masidi Manjun #Annuar Musa #Pilihan Sabah #PRN Sabah #Sabah Memilih
;