Jangan pilih simbol 'kapal layar' dan 'mata lebam' - PM Najib

Fifi Harteeny Marzuki
Mei 7, 2018 13:20 MYT
Najib (tengah) ketika Majlis Bersama Rakyat Parlimen Beaufort di Dataran Bagandang, hari ini. - Astro AWANI
Jika mahu merentas samudera, rakyat perlu bijak dalam membuat pemilihan dan tidak memilih simbol 'kapal layar' sebagai sandaran apatah lagi bergantung harap dengan simbol 'mata lebam'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan 'pemilik' simbol-simbol itu tidak mampu mengemudi rakyat dalam menempuh cabaran dan berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang bukan sahaja mempunyai rekod cemerlang dalam berbakti pada rakyat malah mempunyai nakhoda kapal moden yang berwibawa.
Jelas Najib, parti yang ditubuhkan kerana kepentingan peribadi pemimpinnya itu merupakan satu parti yang dilihat lemah dan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri Sabah seperti yang dibuat kerajaan BN.
"Zaman sekarang kita tak main kapal layar. Kita nak berlayar di lautan samudera, jadi kita nak kapal yang lebih moden.
"Kapal layar ini kecil, hanya parti kecil yang bermain di tepi pantai sahaja. Kita (BN) ini parti yang besar, parti daripada Perlis sampai lah ke Sabah.
"Oleh itu, pilihlah kapal yang moden yang penuh kekuatan. Jadi semuanya dah jelas, hati saya adalah untuk terus membangunkan negeri Sabah," katanya dalam Majlis Bersama Rakyat Parlimen Beaufort di Dataran Bagandang, hari ini.
Beliau merujuk kepada Parti Warisan Sabah yang menggunakan logo kapal layar dan Parti Keadilan Rakyat yang menggunakan logo mata yang terbuka.
Dalam pada itu, Najib turut menyeru agar rakyat di negeri ini tidak termakan dengan janji-janji manis yang dilemparkan parti pembangkang semasa dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut Najib, rakyat haruslah bijak memilih parti yang boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan bukannya parti yang hanya 'menghabiskan beras' sahaja.
Turut hadir Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; calon Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; calon DUN Klias, Datuk Isnin Alisaneh dan calon DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Sementara itu, Najib turut menggesa agar rakyat tidak mudah percaya dengan berita palsu yang disampaikan oleh pihak pembangkang yang menuduh kepimpinan kerajaan BN hanya menambah hutang negara.
"Kita bukan negara yang gagal. Kita bukan negara bankrap kerana mempunyai hutang yang besar, itu adalah tidak benar sama sekali.
"Ingin saya nyatakan di sini, hutang kita cuma 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja.
"Zaman orang yang menjadi perdana menteri 22 tahun pernah sampai 103 peratus daripada KDNK, kenapa dia tak persoalkan zaman dia? Kenapa harus sekarang untuk berbohong?" katanya.
#Barisan Nasional #logo warisan #MalaysiaMemilih #Najib Razak #Parti Warisan Sabah #PKR #PRU14
;