Jangan pilih pihak yang tidak boleh mentadbir negara - Tun Mahathir
Irwan Muhammad Zain
Julai 8, 2023 19:46 MYT
Julai 8, 2023 19:46 MYT
SHAH ALAM: Pengerusi Proklamasi Orang Melayu. Tun Dr Mahathit Mohamad menyeru pengundi di enam negeri yang bakal diadakan pilihan raya agar tidak memilih pihak yang tidak boleh mentadbir negara.
Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan sedia ada tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi, sosial, dan politik yang sedang dihadapi.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tahu memberi ucapan tetapi tidak akan dapat melaksanakannya kerana ekonomi negara tidak mengizinkan.
"Kita nak buat ini pasal nak ada pilihan raya, kita nak kan supaya jangan pilih orang yang kita tahu tak dapat perintah negara.
"Tak dapat nak selesaikan masalah ekonomi, masalah politik, masalah sosial, semuanya tak dapat.
"Cuma hari-hari kita dengar perdana menteri buat ucapan, hari-hari.
"Hari ini kita dengar dia nak semak gaji, nak semak lah tapi kalau nak bagi tak boleh sebab tidak ada duit, dia semak lah sampai tahun depan pun," kata pada sidang media selepas siri jelajah Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini, Ke Hadapan anjuran sekretariat Proklamasi Orang Melayu.
Beliau juga mendakwa kerajaan sedia ada tidak bersedia mendengar pendapat pihaknya yang menurutnya serius memperjuangkan hak orang Melayu.
"Pendapat parti lawan ditolak begitu sahaja sebab itu dalam pilihan raya di peringkat negeri pun rakyat kena tunjuk pilihan mereka.
"Mereka nak kekal dengan kerajaan yang tidak membuat apa-apa atau betul kan banyak masalah terutama masalah orang Melayu di negara kita.
"Cuma yang faham masalah ini dan mempunyai idea macam mana nak mengatasinya, kalau diberi kuasa, baru kita boleh betulkan," katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, beliau masih mampu memberi sumbangan kepada negara daripada segi idea dan cara untuk mencapai sesuatu matlamat.
Beliau juga mendakwa ada pemimpin yang tidak pernah bertanya pendapatnya selepas menggantikan beliau sebagai ketua kerajaan.
“Dulu saya ingat bila Tun Abdullah (Ahmad Basawi) jadi perdana menteri, dia hendak tanya saya. Tapi tidak pernah tanya,
"Najib, bila saya cakap dekat dia tak payah lah bagi duit, dia kata cash is king, tak mahu dengar.
“Anwar pula dia ada 'Untold Story',” katanya.
Siri jelajah Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini, Ke Hadapan anjuran sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan diadakan di negeri-negeri lain selepas Selangor.