Jangan percaya spekulasi saya keluar UMNO - Hishammuddin
Astro Awani
Februari 25, 2020 04:49 MYT
Februari 25, 2020 04:49 MYT
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa menafikan spekulasi akan keluar UMNO.
Beliau turut meminta masyarakat agar tidak mempercayai dakwaan kononnya akan meninggalkan parti itu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya saya akan keluar parti - jangan sesekali percaya spekulasi yang disebar sesetengah pihak di luar sana.
“Pendirian saya konsisten sejak dahulu lagi. Dan hari ini saya ulang sekali lagi, kesetiaan saya tidak berbelah bahagi.
"Saya tetap bersama UMNO dan Barisan Nasional,” katanya dalam catatan terbaharu di akaun Facebook dan Twitternya.
Sebelum ini, dakwaan sama pernah timbul kepada Hishammuddin.
Bagaimanapapun, beliau menafikan laporan media berkenaan selain meminta masyarakat tidak mempercayai spekulasi berkenaan.
“Jangan percaya spekulasi di luar sana. Bagi saya tiada sebab saya nak keluar parti.
"Tetapi saya rasa kepimpinan perlu tunjuk hala tuju yang jelas kepada kita semua ahli-ahli UMNO,” katanya seperti dilapor pada masa itu.
Hishammuddin sebelum ini turut memberi jaminan akan tetap dalam kepimpinan UMNO dalam suasana lanskap politik negara tidak kira dalam susah atau senang.
Tegasnya, semua perlu bersatu padu dan berganding bahu demi menjayakan agenda parti bersama.
"Saya sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perkara ini. Kita semua perlu bersatu padu dan berganding bahu demi menjayakan agenda kita bersama.
"Saya akan tetap dengan kepimpinan UMNO, dalam susah dan senang - itu janji saya," katanya.
Bekas Naib Presiden UMNO itu sebelum ini dilaporkan turut hadir majlis makan malam bersama beberapa pemimpin parti PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Warisan, Pas dan Gabungan Parti Sarawak di sebuah hotel di Petaling Jaya.
#agenda
#Barisan Nasional
#Hishammuddin Hussein
#hotel
#Parlimen
#PAS
#PKR
#politik
#PPBM
#presiden
#UMNO
#Zahid Hamidi