Jangan percaya mesej pemberian sumbangan buat pengundi - Zambry

Shafiq Noordin
Mei 8, 2018 17:04 MYT
Mesej itu menyebut kononnya penyampaian sumbangan itu akan berlangsung di kediamannya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menasihati orang ramai tidak mempercayai mesej yang kini tular, kononnya beliau akan menyampaikan sumbangan wang kepada pengundi.
Zambry yang juga calon Ahli Parlimen Lumut juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, berkata mesej itu menyebut kononnya penyampaian sumbangan itu akan berlangsung di kediamannya.
Beliau yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu menyifatkan ianya sengaja direka untuk mengganggu gugat perjalanan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok.
“Ini satu lagi permainan yang cukup jahat dan kotor individu tidak bertanggungjawab, dengan mereka menghantar mesej-mesej bahawa saya akan beri sumbangan wang kepada pengundi-pengundi, di kediaman saya (Lumut).
“Dengan sendirinya mereka akan menggerakkan orang ramai ke kediaman saya untuk mengambil gambar, ini ‘game’... dia buat ‘game’.
“Kita tahu flashmob yang akan mereka buat selain mewujudkan suasana hingar-bingar dalam suatu kawasan. Setiap kali PRU inilah pendekatan mereka,” katanya kepada pemberita.
Baru-baru ini tular dalam kalangan kariah masjid di sekitar Lumut yang menerima mesej mengatakan Zambry akan memberi sumbangan wang kepada pengundi sempena PRU.
#DUN Pangkor #flashmob #jahat #kotor #lumut #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #PRU14 #sumbangan #Zambry Abdul Kadir
;