Jangan pentingkan soal berapa kerusi ditandingi - Mohamad Sabu

Bernama
September 18, 2022 20:16 MYT
Mohamad berkata, perwakilan perlu lebih mengutamakan usaha untuk memenangi sebanyak mungkin kawasan-kawasan yang diamanahkan kepada mereka. - Gambar fail
SEREMBAN: Presiden Amanah Mohamad Sabu menyeru perwakilan parti agar tidak mementingkan soal bilangan kerusi yang ditandingi parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan usaha untuk memenangi sebanyak mungkin kawasan-kawasan yang diamanahkan kepada mereka.
"... gunakan kesempatan, kalau dapat kerusi lebih kita bertanding dengan sepenuh tenaga dan kudrat untuk menang di semua tempat yang diamanahkan.
"Jangan lupa pula bila kita bertanding, kita dalam PH... sebab itu bila kita bersatu dalam PH kita kena bantu antara satu sama lain," katanya dalam ucapan penangguhan Konvensyen Amanah Nasional 2022 di sini hari ini.
Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata semua negeri termasuk di Wilayah Persekutuan, akan ada kerusi untuk ditandingi, kerusi-kerusi boleh menang dan kerusi yang boleh dilabelkan sebagai perkhidmatan nasional.
"... tetapi itu pun tidak boleh dijadikan ukuran kerana apa yang kita menang hari ini tidak semestinya menang pada PRU15 kerana keadaan berubah," katanya.
Konvensyen yang berlangsung sejak Jumaat lepas yang dihadiri oleh kira-kira 800 perwakilan seluruh negara tamat hari ini, dan ditangguhkan ke satu tarikh kelak.
-- BERNAMA
#Amanah #PRU15 #Mohamad Sabu #bilangan kerusi
;