Jangan pegang jawatan UMNO lebih dua penggal - Noorazli
Wan Syamsul Amly
September 6, 2014 21:16 MYT
September 6, 2014 21:16 MYT
Mana-mana pemimpin di dalam UMNO yang memegang jawatan lebih dua penggal atau kira-kira 10 tahun dinasihat untuk mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka-muka baru di dalam parti.
Ia bagi memastikan kesinambungan kekuatan parti lebih-lebih lagi mahu menawan kembali kerusi-kerusi yang kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, situasi itu dilihat dapat menjadi antara ramuan kemenangan UMNO sendiri pada PRU akan datang
"Permintaan ini bermula dari pemegang jawatan sekecil-kecilnya di dalam parti iaitu ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian, ketua bahagian, majlis tertinggi (MT) termasuk sehingga presiden sendiri.
"Di dalam UMNO ini banyak muka lama, kita mahukan perubahan dan usul ini merupakan jawapan kepada pembaharuan itu," katanya kepada Astro AWANI selepas Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di sini hari ini.
Noorazli mengulas mengenai situasi beberapa pemimpin UMNO yang memegang jawatan lebih dua penggal selain dilihat 'degil' untuk melepaskan kedudukan sehingga berpuluh-puluh tahun.
Tambah Noorazli, usul itu diharap dapat dibawa ke peringkat tertinggi parti selain dibincangkan dengan teliti.
Tegasnya, itu asas perubahan dan pembaharuan sebenar yang dilaung pucuk pimpinan parti sejak sekian lama.
"Jika tidak boleh dibuat perlembagaan parti, ia boleh dilihat konsensus yang perlu dipatuhi.
"Sesiapa yang berkenaan perlu melepaskan jawatan secara terhormat, mungkin pergi ke jawatan tertinggi atau lepaskan kepada muka-muka baru," ujarnya.
Jelasnya, langkah itu sudah diamalkan parti lawan selain menyifatkan ia membuahkan hasil yang positif.
Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menjelaskan, usul itu akan dibawa ke pucuk pimpinan sebagai suara akar umbi terutama golongan anak muda.
"Ini suara akar umbi, selaku ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO...saya akan mengangkat usul ini kepada pucuk pimpinan untuk diteliti.
"Ini keluh kesah akar umbi dan rakyat sendiri, jika pucuk pimpinan merasakan ia bernas, ia pasti dilaksanakan," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Khairul Azwan menyatakan, Pemuda UMNO harus sentiasa peka terhadap semua isu selain menjadi benteng kukuh kepada kekuatan parti.