'Jangan pandang ringan serangan bekas pemimpin' - Wanita UMNO Sabah

Wan Syamsul Amly
November 30, 2016 16:54 MYT
MIZMA: PRU akan datang merupakan PRU paling sengit dan akan menjadi penentu hidup mati parti. - Gambar fail
UMNO tidak boleh sama sekali memandang ringan setiap serangan yang dihadapi daripada musuh tradisi parti dan bekas rakan seperjuangan UMNO sendiri.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah perjuangan 'hidup atau mati' bagi melihat kelangsungan parti selepas proses demokrasi itu berlangsung.
"Mereka yang menyerang kita bukan hanya musuh tradisi politik tetapi yang menyerang kita juga ialah mereka yang pernah bersama-sama dengan kita, menjadi sebahagian daripada kita memimpin kita dan tahu cara kita bergerak, beroperasi dan berfikir.
"Mereka yang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO ini juga mempunyai pengalaman yang lama dalam parti. Segenap kelebihan dan kelemahan UMNO mungkin akan dipergunakan untuk survival agenda politik mereka.
"Penubuhan parti baharu oleh bekas pimpinan kanan UMNO ini sedikit sebanyak dilihat boleh menjejaskan kesepaduan dalam kalangan kepemimpinan dan ahli parti," katanya dalam ucapan menyokong ucapan dasar Ketua Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sehubungan itu kata Mizma, PRU akan datang merupakan PRU paling sengit dan akan menjadi penentu hidup mati parti.
"Sebagai ahli yang setia, kita perlu pertahankan parti ini lebih-lebih lagi pada saat ini di mana kita berhadapan dengan cabaran yang berterusan.
"Maka, mendukung presiden adalah mendukung kekuatan UMNO, kekuatan UMNO bermakna kekuatan agama, bangsa dan negara. UMNO perlu diperkasakan dengan pendekatan baru, demi kedaulatan bangsa dan negara.
BACA: LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Agung UMNO 2016 (Hari Kedua)
"Wanita UMNO tidak perlu keliru, Wanita UMNO tidak lagi berjuang kepada pemimpin yang cakap tidak serupa bikin, Melayu memang mudah lupa. Tidak payah sebut siapa. Semua orang tahu. Inikah maruah pemimpin, inikah harga diri yang disebut sebagai jati diri seorang pemimpin?" tegasnya.
Tambahnya, Wanita UMNO Sabah turut menolak usaha pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh dengan menggunakan mana-mana kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
#mizma appehdullah #pilihan raya umno #pilihan raya umno 2016 #PRU #Wanita UMNO
;