Jangan pandang rendah penilaian golongan muda - Muhyiddin
Astro Awani
November 6, 2021 20:25 MYT
November 6, 2021 20:25 MYT
KUALA LUMPUR: Parti-parti politik tidak boleh memandang rendah apirasi dan tahap penilaian golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya parti-parti politik memandang rendah pengundi muda.
Beliau menjelaskan pemimpin-pemimpin politik perlu memahami pemikiran orang muda kerana golongan tersebut mempunyai pemikiran yang berbeza.
"Semua sistem politik dan pemimpin politik dalam negara mesti memahami bukan setakat untuk menyesuaikan dengan apa yang dikehendaki rakyat umum tetapi jangan lupa aspirasi anak muda.
"Orang muda ada cita-cita, mereka ada kemahuan, mereka mahukan pekerjaan, mereka mahu mendapat gaji yang tinggi, mereka lihat negara lain boleh begitu maju, mereka persoal kenapa Malaysia jauh kebelakang.
"Bila keadaan ini berlaku, orang muda akan salahkan kerajaan, mereka akan salahkan orang politik, yang asyik berpolitik, gila kuasa, jatuhkan kerajaan, jatuhkan perdana menteri, apa kerja itu, tak ada kerja lain ke?" katanya.
Muhyidddin juga mengakui tidak mengetahui penilaian orang muda terhadap beliau di Parlimen Pagoh yang diwakilinya.
Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara Dialog Malaysia Prihatin anjuran Yayasan Setia Negara Malaysia (YASENM) hari ini.