Jangan pandang remeh pertemuan Dr. Mahathir dan Anwar - Khairy

Anthea Yap
September 8, 2016 17:22 MYT
Pertemuan Tun Mahathir-Anwar menimbulkan beberapa persoalan daripada rakyat yang tertanya-tanya kemungkinan ada titik pertemuan kedua-dua individu itu. - Foto ihsan Najwan Halimi
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin senada dengan pandangan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya tidak memandang remeh pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lalu.
Beliau menegaskan Barisan Nasional dan UMNO perlu lebih berwaspada dalam perkembangan berkaitan parti pembangkang.
“Apa sahaja perkembangan pembangkang perlu kita pantau dengan teliti. Perlu kita mengambil maklum yang sedang berlaku tetapi bagi saya yang penting adalah persiapan dalam Barisan Nasional dan apa sahaja berlaku di luar Barisan Nasional perlu kita berwaspada perlu kita pantau jangan kita ambil ringan,” katanya selepas menghadiri Forum Kyoto-ASEAN, di sini hari ini.
Kata Khairy lagi, sesiapa sahaja dalam BN atau UMNO tidak seharusnya menganggap pakatan yang mungkin dibentuk Tun Mahathir dan Anwar itu akan menjejaskan parti.
Sebaliknya, beliau berkata perkara itu perlu dipantau dan diteliti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam parti pembangkang.
Fokus utama BN dan UMNO katanya kini adalah cuba meningkatkan lagi sokongan rakyat di negara ini.
#Anwar Ibrahim #KHAIRY #Khairy Jamaluddin #KJ #Mahathir Mohamad #Mahathir-Anwar #Mahkamah Tinggi #pertemuan Mahathir-Anwar
;