Jangan masuk UMNO kerana agenda peribadi - Syed Ali

Astro Awani
Mac 23, 2017 06:42 MYT
Pemimpin UMNO diingatkan tidak terlalu mengutamakan jawatan dan kedudukan di dalam parti sehingga mengabaikan tanggungjawab. - Gambar fail
Pemimpin UMNO diingatkan tidak terlalu mengutamakan jawatan dan kedudukan di dalam parti sehingga mengabaikan tanggungjawab serta amanah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, seseorang pemimpin parti memikul amanah yang amat berat bagi memastikan rakyat terutama golongan sasaran mendapat pembelaan sewajarnya.
"Rakyat termasuk ahli-ahli UMNO memberikan kita kedudukan dan jawatan dalam parti, jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu mengkhianati amanah dan mandat tersebut.
"Pemimpin perlu sentiasa mendampingi rakyat dan tidak dilakukan secara bermusim atau ketika sesuatu pertandingan atau pilihan raya akan diadakan.
"Apabila seseorang itu menyertai UMNO kerana mempunyai niat atau agenda peribadi, lambat-laun parti akan menjadi cemuhan dan ditolak rakyat," katanya dalam catatan dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: Anggota UMNO perlu berani dendang kejayaan parti - Annuar Musa
BACA: Jangan gadai masa depan negara dengan dengar berita palsu - PM Najib
Jelas Syed Ali, mereka yang menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk mengumpul kemewahan dan kemaruk kepada kuasa biasanya tidak akan bertahan lama.
"Bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk seseorang itu mempunyai cita-cta untuk menerajui kepimpinan parti atau berusaha untuk mendapatkan kedudukan jika dengan cara sedemikian boleh membantu rakyat.
"Kota boleh pegang jawatan dalam UMNO jika niat untuk membantu rakyat, mempertahankan negara dan kepentingan orang Melayu kerana parti itulah sebenarnya yang menjadi pelindung masa depan.
"Yang jadi masalahnya, ada sesetengah orang masuk UMNO kerana inginkan jawatan, inilah yang menyebakan berlaku tikam menikam dari belakang dan bergeseran sesama sendiri," ujarnya.
Tambah beliau, keadaan akan menjadi bertambah parah apabila rakyat mula menilai dan membuat andaian negatif terhadap UMNO hanya disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga'.
Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bimbang kemelut seperti itu akan diambil kesempatan oleh pembangkang untuk memburuk-burukan parti dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu jujur dan berpegang kepada prinsip perjuangan yang mana kesetiaan kepada parti dan kepimpinan presiden perlu diterjemahkan secara jelas.
"Mereka yang memegang jawatan dalam UMNO perlu membuktikan dengan jawatan tersebut kepentingan rakyat atau kelompok masyarakat yang diwakilinya tidak terabai.
"Dari sudut kepimpinan pula, setiap pemimpin perlu secara konsisten serta teguh di belakang kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.
Soalnya, apakah ahli atau pemimpin UMNO hanya mahu berdiam diri ketika Datuk Seri Najib diserang dan difitnah dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan.
"Kalau kita sayangkan UMNO, sayangkan presiden dan barisan kepimpinannya, maka kita wajib mempertahan dan bertindak atas kepentingan parti secara keseluruhannya.
"Justeru itu, pemimpin UMNO di setiap peringkat termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sewajarnya segera sedia dengan segala kekuatan untuk menyerang balas pihak pembangkang.
"Pembangkang kini menyerang UMNO menerusi pentas politk secara terbuka termasuk mengekseskan laman-laman sosial secara terancang dengan mensasarkan golongan muda," katanya.
Tambahnya, perperangan politik secara alam maya sudah berlaku pada awal 1990-an lagi tetapi UMNO terlalu lambat untuk mengambil kaedah dan memanfaatnya secara lebih berkesan.
Syed Ali juga turut mengingatkan, pemimpin UMNO perlu memberi fokus kepada persiapan parti untuk menghadapai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana 'pertempuran' kali ini disifatkan amat perit.
Sejujurnya kata beliau, PRU ke-14 merupakan pertarungan cukup getir dan akan menjadi penentu kepada kelangsungan perjuangan UMNO untuk membela nasib orang Melayu.
"Saya optimis UMNO akan menang, tetapi dalam keyakinan itu juga kita menaruh rasa bimbang jika berlaku percakaran sesama sendiri dalam parti, ini yang perlu ditangani sebaik mungkin.
"Perbuatan mensabotaj parti sewajarnya dielakkan jika seseorang itu tidak terpilih sebagai calon pilihan raya.
"Apa yang penting, seluruh ahli dan pemimpin UMNO perlu berganding bahu bagi memastikan parti dan BN khususnya memperolehi kemenangan melebihi majoriti dua pertiga" tegasnya.
#Annuar Musa #PRU #Syed Ali #UMNO
;