Jangan malu memakai baju warna merah dan mengaku ahli UMNO - Mahdzir Khalid

Astro Awani
Oktober 18, 2021 17:39 MYT
Mahdzir berkata, pengorbanan dan kesetiaan ahli akar umbi itu telah meneruskan kelangsungan perjuangan parti di seluruh negara. - Astro AWANI
KUDAT: Kesetiaan ahli akar umbi yang kekal bersama perjuangan UMNO biarpun diuji dengan situasi kehilangan beberapa pemimpin amat dihargai pucuk pimpinan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengorbanan dan kesetiaan ahli akar umbi itu telah meneruskan kelangsungan perjuangan parti di seluruh negara.
"Pada tahun 2018 apabila sebahagian daripada rakan-rakan kita dalam UMNO di peringkat kepimpinan telah keluar daripada parti ini, masih ada yang kekal setia.
"Saya tidak kisah mereka hendak pergi ke mana, tetapi yang hendak saya nyatakan bukan ke mana mereka pergi, yang saya hendak nyatakan semangat ahli cawangan, semangat ketua cawangan, semangat ketua wanita, pemuda, puteri dan kepimpinan bahagian yang terus berjuang walaupun sudah tahu kita kalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian Kudat di sini pada Isnin.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengingatkan ahli-ahli UMNO juga tidak perlu malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan UMNO atau mengaku diri sebagai ahli UMNO.
Dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang UMNO katanya, tidak punya apa-apa dan menghadapi pelbagai ujian seperti Pilihanraya Kecil DUN dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Datuk Seri Bung Moktar Radin diuji pada waktu itu kerana ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, panggil kawan-kawan seluruh Sabah, sekarang kita mahu pilihanraya Kimanis, kita pembangkang, kita mahu himpunkan jentera, jentera pun kurang pengalaman," katanya.
Tambah Mahdzir, kemenangan dalam PRN Sabah telah meletakkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri itu.
"Dari Perlis sampai ke Sabah, UMNO sebuah parti yang ada strukturnya di semua peringkat. Kita kena terus kuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, kekuatan UMNO ada di akar umbi. Kita hanya nak menang pilihan raya dan kembalikan agenda membangunkan negara.
"Jangan jadi macam ketam dalam kotak, satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar. Elakkanlah sikap seumpama itu di dalam UMNO. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti," katanya.
#UMNO Sabah #kesetiaan ahli akar umbi #perjuangan UMNO #PRN Sabah
;