Jangan lupa jasa Ketua Bahagian - Abdul Rashid

Arfa Yunus
Disember 30, 2018 11:16 MYT
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyampaikan ucapan penangguhan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. - Foto Bernama
Naib presiden parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Abdul Rahman mengingatkan kepimpinan tertinggi parti itu supaya tidak mengabaikan pimpinan akar umbi termasuk di negeri-negeri yang dikuasai Pembangkang.
Katanya, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan Bersatu seluruh negara yang selama ini bertungkus lumus memastikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) perlu dibalas budi mereka.
"Dulu saya tidak suka apa yang kita patut buat ini, tetapi kini saya baru masuk ke dalam kandang politik, kita mesti buat apa yang kita patut buat.
"Semua Ketua-Ketua Bahagian mesti mendapat aktiviti yang memberi peluang supaya mereka mampu meneruskan kerja daripada segi kewangan untuk mempertahankan kedudukan Pakatan Harapan," katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Penangguhan Naib Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) , di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi naib presiden, Datuk Abdul Rashid Ansari dalam Ucapan Penangguhannya berkongsi perbualan antaranya dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, lima bulan selepas parti itu ditubuhkan.
Katanya, Dr Mahathir pernah memberitahu beliau bahawa sekiranya Pakatan Harapan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, maka itu adalah hukuman mati buat mereka.
"Tun cakap pada saya, Rashid, jika kita kalah PRU nanti, itu adalah hukuman mati untuk kita.
"Saya anggap kenyataan itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang bersama kepimpinan untuk menegakkan kebenaran dan menolak kemungkaran," katanya.
#Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu #PATBersatu2018 #pembangkang #perhimpunan #pilihan raya #pilihan raya umum #presiden #PRU #PRU14 #Putrajaya #Tan Sri Abdul Rashid