Jangan layan saman Tun M terhadap Najib, tegas Hishammuddin
Wan Syamsul Amly
Mac 24, 2016 20:47 MYT
Mac 24, 2016 20:47 MYT
Semua pihak diminta tidak melayan saman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi salah laku dalam jawatan awam dan kemungkiran kewajipan fidusiari dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia dilihat tindakan pihak tertentu yang sengaja menimbulkan isu terhadap perdana menteri.
Beliau yang juga naib presiden UMNO berkata, paling penting kini adalah telus dengan rakyat selain terus melihat perancangan kemajuan untuk rakyat pada masa hadapan.
"Kalau layan perkara begini tidak jadi kerja kita, yang paling penting kita telus dan rakyat tahu apa yang kita buat. Sekarang kita terus dengan apa yang kita hendak buat.
"Akhirnya rakyat akan menilai sendiri dan tahun apa tujuan pihak tertentu yang cari pasal dengan kita," katanya semasa sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang 2016 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Pada Rabu, Tun Mahathir, memfailkan saman terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi salah laku dalam jawatan awam dan kemungkiran kewajipan fidusiari dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Selain Tun Mahathir, dua plaintif lain termasuk bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO, Anina Saadudin.
Saman tersebut telah difailkan melalui firma guaman, Tetuan Haniff Khatri.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini turut memberitahu tindakan saman Tun Mahathir itu semata-mata untuk membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Najib.