'Jangan kecewakan akar umbi yang setia' - Hishammuddin
Afiezy Azaman
Disember 9, 2022 13:00 MYT
Disember 9, 2022 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: "Jangan sesekali mengecewakan ahli akar umbi yang setia kepada perjuangan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN)."
Menurut Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ahli akar umbi banyak mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti sekali gus memperjuangkan penerimaan rakyat terhadap BN.
Mengakui beliau sedang mengkaji keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Hishammuddin berkata, ia bagi melihat 'mood' serta sentimen rakyat berhubung sokongan diberikan.
"Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti, apatah lagi ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.
"Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti.
"Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang dan saya tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO. Dulu, kini dan selamanya," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet.
"Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya.
"Saya tahu Kerajaan baru ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara.
"Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa, saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan," ujarnya.
Keputusan PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi itu daripada PH selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menewaskan pesaing terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak yang mewakili PH, dengan majoriti 16,260 undi.
Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee meraih 35,377 undi. Calon BN, Datuk C Sivaraj yang memberi laluan kepada Mohamad Sofee selepas penamaan calon pula mendapat 2,983 undi.
Di DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain yang wakili BN, berjaya mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat pada PRU15 dengan majoriti tipis 573 undi dalam pertembungan lima penjuru. Pesaing terdekatnya, Nor Idayu Hashim daripada PN, meraih 7,507 undi.