Jangan jual undi untuk wang sogokan - Najib

Bernama
Mei 3, 2016 13:54 MYT
Najib berkata masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka. -Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak menjual undi mereka semata-mata untuk mendapatkan wang sogokan.
Perdana Menteri berkata masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka.
Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop, kira-kira 40km, dari sini hari ini.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, mendakwa telah menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu untuk menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.
Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah RM200 lagi selepas pilihan raya ini.
Sementara itu, Najib berkata beliau yakin pengundi Iban di DUN Simanggang bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.
"Orang Iban orang pahlawan. Orang yang ada semangat tinggi. Jadi kita jangan jual maruah kita. Lebih penting (jangan gadai) masa depan kita," katanya.
Menurutnya, BN bukan hanya berjuang untuk memastikan kesejahteraan generasi sekarang tetapi juga untuk merancang masa depan cemerlang untuk generasi baharu.
Perdana Menteri, yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, yang juga Anggota Parlimen Sri Aman, turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk beberapa projek bagi penduduk Rumah Jegai semasa majlis itu.
Francis Harden, selaku penyandang, akan ditentang calon DAP, Leon Jimat Donald, Norina Umoi Utot (PKR) dan calon Bebas, Ngu Piew Seng, dalam pilihan raya negeri, Sabtu ini.
#DUN Simanggang #Francis Harden Hollis #jual undi #Najib Razak #pengundi #sarawak2016 #wang sogokan
;