Jangan jadikan krisis dalaman faktor perpecahan UMNO - Mas Ermieyati
Wan Syamsul Amly
Februari 25, 2016 08:15 MYT
Februari 25, 2016 08:15 MYT
Pergerakan Puteri UMNO tidak mahu krisis dalaman UMNO menjadi faktor perpecahan parti sehingga menghilangkan keyakinan anak muda terutamanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerana itu pemimpin UMNO tidak boleh lupa tanggungjawabnya untuk menghormati dan memberikan taat setia kepada peraturan serta Perlembagaan parti sendiri.
"Ia jelas menjadi budaya serta sistem yang perlu dipatuhi dan pada masa sama memastikan sebarang konflik di dalam parti diselesaikan secara matang selain tidak menjadi barah yang merosakkan kepercayaan ahli sendiri.
"UMNO tidak pernah menghalang sebarang kritikan atau teguran kepada pemimpin lain demi keutuhan parti namun jelas ia perlu dibuat dalam saluran betul serta perbincangan yang membuka ruang kepada semua pihak untuk memberikan pendapat secara demokrasi.
"Jelas, tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa kali membuat kenyataan terbuka terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan kesan terhadap institusi parti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Mas Ermieyati mengulas nasihat ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kepada Muhyiddin agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, sebaliknya menunggu keputusan hasil Mesyuarat MT yang dijadualkan Jumaat ini.
Nasihat itu yang disuarakan Mohamed Nazri berhubung kenyataan Muhyiddin terhadap Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor agar tidak mengambil tindakan ke atasnya melainkan mempunyai bukti yang cukup.
Dalam pada itu jelas Mas Ermieyati, apa yang terjadi menimbulkan reaksi daripada beberapa pemimpin UMNO selain menimbulkan spekulasi yang pelbagai di kalangan ahli parti sendiri terhadap orang nombor dua UMNO itu.
"Golongan muda hari ini cukup jelak dengan apa yg berlaku serta kerenah dan sikap yang ditunjukkan oleh orang lama .Orang muda juga tidak mahu sebarang perpecahan parti terjadi disebabkan krisis dalaman yang melanda.
"Paling penting sebarang permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dengan jalan terbaik dan mengikut Perlembagaan UMNO kerana jelas sekiranya tidak ditangani dengan baik ia membawa kerugian kepada kita sendiri.
"Hasrat anak muda sebagaimana sokongan bagi melihat kemajuan negara di bawah pimpinan Najib tidak terbantut dengan isu-isu yang hanya melemahkan parti sekali gus dapat mengurangkan kepercayaan kumpulan berkenaan untuk terus menyokong UMNO pada PRU akan datang," ujarnya.
Tegasnya, sebarang spekulasi berkenaan dengan sebarang keputusan yang akan diambil pada mesyuarat MT UMNO Jumaat ini juga diharap segera dihentikan.
"Paling penting adalah misi memperkuatkan jentera dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UMNO selepas penjelasan mengenai beberapa isu berkenaan Najib sudah dijawab dengan terperinci oleh agensi berkenaan termasuk daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali baru-baru ini.
"Bermain air basah, bermain api hangus. Kami orang muda ingin jalan terus, bekerja terus dengan Presiden serta kepimpinannya. Jalan kita masih jauh, ranjau kita masih berduri.
"Setiap pemimpin UMNO perlu terus berpegang kepada Perlembagaan dan sebarang keputusan yang dicapai pasti mempunyai rasional tersendiri untuk kebaikan parti," katanya.