Jangan jadi parti toksik dalam PN - Srikandi Bersatu WP

Astro Awani
Julai 15, 2020 21:00 MYT
Ema Syuhaili menasihati semua agar berhenti berbalah dan mengelak menunjukkan seolah-olah tiada kesepakatan sesama parti di dalam PN. - Facebook
Sikap ego dan mengutamakan parti sendiri terutama berkaitan pembahagian kerusi hanya mentoksikkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti kerajaan serta mengganggu usaha menjaga dan membela rakyat.
Ketua Srikandi Bersatu Wilayah Persekutuan, Ema Syuhaili menegaskan, perjuangan mengutamakan parti masing-masing tidak harus terlalu diutamakan sehingga melebihi keutamaan serta perjuangan PN sendiri.
"Lebih-lebih lagi jika mengutamakan kepentingan parti sendiri itu boleh menyinggung perasaan parti lain atau menyebabkan kedudukan PN tidak lagi diutamakan.
"Rakyat sendiri akan meluat jika isu-isu mengutamakan parti sendiri lebih diutamakan berbanding PN itu sendiri sebagai kerajaan.
"PN yang menjadi kerajaan mesti menunjukkan perpaduan dan kesepakatan kerana inilah yang akan memberi keyakinan kepada rakyat, seterusnya membolehkan tugas menjaga rakyat dapat dilakukan dengan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
BACA: Bukan hanya Mersing, tapi kerusi lain juga perlu kembali kepada UMNO - Nazri Aziz
BACA: Saya tunggu masa sesuai sertai Bersatu - Zuraida
Dalam pada itu katanya, kedudukan PN sebagai kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri secara umumnya mendapat reaksi positif dan diterima baik seluruh rakyat.
"Dapat dilihat di mana-mana dan semua kelompok masyarakat menunjukkan penerimaan. Malah, kerajaan ini bukan saja lebih baik daripada PH, bahkan juga lebih diterima berbanding Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang dibayangi imej rasuah, kronisme dan nepotisme.
"PN sebaliknya lebih menggambarkan kepelbagaian dan kemajmukan yang sesuai dengan komposisi masyarakat, bahkan pemimpin yang ada dalam kerajaan jelas lebih berwibawa.
"Lantaran itu, semua parti-parti dalam PN seharusnya menjaga kerajaan ini agar ia kekal lebih lama mentadbir negara serta menjauhi perbuatan mengutamakan parti masing-masing," tegasnya.
#Barisan Nasional #Nazri Aziz #PRU15 #rakyat #Rasuah #UMNO
;