Jangan jadi dangkal tuduh UMNO anti agama - Dr Zambry

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 7, 2017 17:04 MYT
Zambry berkata, kenyataan Guan Eng seolah-olah sengaja mewujudkan perbalahan agama sedangkan tidak pernah wujud sentimen anti agama dalam amalan UMNO sebelum ini. - Foto Astro AWANI / NAZIALITA GEYNNA MAHARAN
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba memainkan sentimen agama sebagai tindakan yang dangkal.
Pagi ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam laman twitternya menyatakan “konco-konco UMNO/PAS fitnah DAP komunis tapi bukan DAP, UMNOlah yang ucap dalam Parti Komunis Cina. Siapa pengkhianat anti-agama sekarang?”.
Merujuk kepada tweet tersebut, Menteri Besar berkata, kenyataan Guan Eng seolah-olah sengaja mewujudkan perbalahan agama sedangkan tidak pernah wujud sentimen anti agama dalam amalan UMNO sebelum ini.
Malah, Dr Zambry menegaskan, tindakan Guan Eng menuding jari ke arah UMNO hanya akan memakan diri malah mencerminkan dirinya sendiri sebagai individu yang gemar menimbulkan provokasi.
“Kerana benci dan marah beliau kepada UMNO maka beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu. Tak payah buat hujah dangkal macam itu, orang hanya akan memomokkan beliau.
“Kenapa dia tidak pertikaikan hubungan parti di antara UMNO dengan pelbagai parti politik di seluruh dunia yang berteraskan agama, kenapa nak bandingkan UMNO dalam Parti Komunis China?
“Kalau ini alasan dia (Guan Eng) untuk membelasah UMNO sedangkan perhubungan kita dengan pelbagai parti di sesebuah negara adalah normal, bukannya kita mengamalkan fahaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan Deepavali bagi Parlimen Lumut di Dewan Sekolah Tamil Wawasan Pundut di sini pada Sabtu.
Dr Zambry diminta mengulas kenyataan tweet Guan Eng yang dibuat bagi merujuk kepada perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan Presiden Cina Xin Jinping.
Dr Zambry berkata, beliau sendiri hairan bagaimana kenyataan yang begitu cetek itu boleh dibuat berdasarkan kesimpulan Guan Eng sendiri.
Katanya, UMNO tidak pernah sama sekali bersikap anti agama seperti yang didakwa oleh Guan Eng dan tindakan pemimpin DAP itu adalah serangan peribadi beliau terhadap UMNO.
“Saya yakin DAP juga mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan parti dari negara lain, jadi kita tidak boleh sesuka hati mengatakan kalau pemimpin berjabat tangan terima jemputan, kita terus tuduh mereka anti-agama.
“Sedangkan beliau sendiri tidak melihat struktur partinya yang meletakkan Setiausaha Agung sebagai pemimpin dan kuasa tertinggi selama ini," ujarnya lagi.
Dr Zambry menegaskan, rakyat telah masak dan memahami bahawa UMNO sama sekali tidak pernah bersifat anti-agama seperti yang didakwa.
#DAP #Ketua Menteri #Lim Guan Eng #Menteri Besar #pilihan raya umum #politik #PRU14 #pulau pinang #UMNO #Zambry Abd Kadir
;