Jangan jadi boneka kepada UMNO, kata Ketua Wanita Keadilan
Arfa Yunus
Jun 2, 2014 08:17 MYT
Jun 2, 2014 08:17 MYT
Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menggesa Ahli Parlimen baru Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong supaya tidak ‘menjadi boneka kepada UMNO’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Zuraida berkata, kemenangan Mah ‘tidak perlu dibanggakan’ memandangkan beliau sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan yang sama selain hanya berjaya menambah undian Barisan Nasional (BN) sebanyak 71 sahaja.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dahulu, berapa banyak perubahan yang dibawa untuk penduduk Teluk Intan? Kemenangan Mah hanya bergantung kepada undian pos dan ini mungkin juga ada kena mengena dengan amaran Zahid (Datuk Seri Zahid Hamidi) bahawa kerajaan tahu siapa mengundi untuk siapa.
“Undian pos sebanyak 238 dan jumlah keseluruhan undian yang tidak selaras telah menimbulkan persoalan sama ada kemenangan Mah ini sebenarnya dapat dipertahankan,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau menambah, memandangkan pilihan raya kecil tersebut telah tamat, kini tiba masanya untuk Mah memenuhi janji-janjinya terutama sekali selepas beliau dilantik menjadi menteri.
Dalam kenyataan itu, Zuraida menggesa agar Mah ‘tidak menipu penduduk Teluk Intan’ selepas menjanjikan perubahan serta pembangunan semasa berkempen.
“Jalankan kerja anda dan tunaikan semua janji-janji yang dibuat atau orang ramai akan membuat pilihan lain pada pilihan raya umum selepas ini. Tetapi, jika Mah mahu memberikan pembangunan kepada Teluk Intan, pasti beliau telah berbuat demikian ketika menjadi Ahli Parlimen di situ dahulu.
Kini kita hanya perlu tunggu dan lihat sama ada janji-janji itu akan ditepati atau hanya menjadi janji kosong,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zuraida turut memberi semangat kepada calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud bahawa ini hanyalah permulaan kepada kerjayanya dan Mah ‘kemungkinan besar hanya akan menjadi Ahli Parlimen tansit untuk PRU-14’.
Presiden Gerakan, Mah memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dengan jumlah undian sebanyak 20,157, mengalahkan Dyana dengan majoriti 238 undi, sekaligus berjaya menawan semula kerusi yang dimenangi DAP pada 2008 dan PRU-13. Dyana memperolehi 19,919 undi.
#DAP
#Dyana Sofya Mohd Daud
#GERAKAN
#mah siew keong
#PRK
#Teluk Intan
#Wanita Keadilan
#Zuraida Kamaruddin