"Jangan jadi batu ronson" - Speaker Dewan Rakyat beri amaran kepada Ahli Parlimen
Hasimi Muhamad
Disember 19, 2022 16:54 MYT
Disember 19, 2022 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memberi amaran kepada Ahli Parlimen agar tidak menjadi 'batu ronson' sehingga boleh menimbulkan kekecohan sepanjang persidangan.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengarahkan Ahli Parlimen keluar dari Dewan Rakyat sekiranya mengeluarkan perkataan yang dianggap 'unparlimentarian'.
Beliau dalam masa yang sama meminta agar menghormati kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat.
"Semua jangan jadi batu ronson....
"Dengar betul-betul sekali lagi, tak kira belah ini (kerajaan) atau belah sini (pembangkang), kalau mengeluarkan unparlimentarian dan mentafsirkan perkataan itu, unparlimentarian atau tidak adalah saya.
"Jadi kalau saya dengar YB menggunakan perkataan unparliamentary, saya akan keluarkan daripada Dewan ini," katanya pada sesi perbahasan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Isnin.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah bangkit selepas kedengaran Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim berkata "Kami tidak jadi kera lah, Hulu Langat."
Mohd Sany yang tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan bangun dan menggelarkan Awang Solahuddin sebagai 'beruk'.
"Ehh hang Pendang (Awang Solahuddin) apa? Beruk?... Hang beruk, Pendang Beruk...
Beliau dalam masa yang sama meminta agar Ahli Parlimen yang baharu supaya lebih bersabar.
"Tolong kena jaga tingkah laku khususnya ahli YB yang baharu masuk, kena belajar dulu. Just be patience," katanya.