Jangan guna isu watikah untuk gugat demokrasi dalam parti - Pemuda UMNO

Astro Awani
Julai 3, 2021 14:06 MYT
Bastien (kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk di Kampung Pudu, Segamat pada Sabtu. - Foto Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman seharusnya tahu kemenangan calon Pilihan Raya Umum (PRU) bergantung kepada kebolehan seseorang calon dan keunggulan nama baik parti yang dinaunginya.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menjelaskan, amaran Pengarah Pilihan Raya UMNO itu baru-baru ini mengenai isu watikah pelantikan calon PRU amat memeranjatkannya.
"Gambaran sebegini menyebabkan orang mengandaikan seolah-olah parti ini tidak boleh dikritik perjalanan baik dan buruknya. Realiti kehidupan dunia tanpa sempadan dan sifat orang muda yang kritis akan menyebabkan kenyataan ini tidak diterima baik oleh orang muda dan mempamerkan keadaan parti kepada orang rakyat yang bukan ahli.
"Bukankah cadangan dan kritikan merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan sesebuah parti politik. Demokrasi yang subur juga merupakan daya tarikan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
BACA: 'Hadkan kuasa Zahid Hamidi tentukan calon PRU15' - UMNO Jeli
BACA: Beri lebih ruang kepada anak muda berpolitik demi segarkan demokrasi - Pakar
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan amaran Tajuddin yang mengingatkan watikah pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih terletak di bawah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tajuddin berkata demikian susulan keputusan parti yang menangguhkan pemilihannya sehingga 18 bulan, sekali gus menyaksikan Ahmad Zahid kekal menyandang jawatan itu sehingga 2023.
Dalam pada itu Bastien percaya, presiden parti faham isu berkenaan dan watikah bukan senjata untuk mempertahankan diri.
"Rata-rata orang muda yang menjadi ahli UMNO sedar bahawa kemenangan parti adalah perkara penting dan membariskan calon terbaik, berkebolehan, bersih serta rajin merupakan ramuan yang menjamin kemenangan parti.
"Begitu juga berkenaan perjalanan parti seperti soal pemilihan yang sudah mencapai tempohnya.
"Sebagaimana penekanan kita untuk membuka sidang Parlimen, proses semak dan imbang harus juga berlaku dan diteruskan sebaik masalah COVID-19 selesai," katanya.
Terdahulu, Bastien melawat sebuah rumah yang memerlukan bantuan untuk dibaiki bagi menampung enam orang penguhuninya.
Ketua keluarga rumah berkenaan juga sudah kehilangan kerja selama tiga bulan.
#UMNO #PRU #Parlimen #watikah
;